18 Pain Darah Berjaya Dikumpul

Gambar menunjukkan Pr. Herbert Laung menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil dari Unit Tabung Darah Hospital Tuaran sambil diperhatikan oleh Lesaya (kiri) dan Touni (kanan)

Oleh Raychel L Sorudim

TUARAN: 18 orang penderma darah berjaya menderma 18 pain darah kesemuanya semasa satu acara kempen derma darah anjuran bersama Gereja SDA Tuaran, Unit Tabung Darah Hospital Tuaran dan Persatuan Penderma Darah Sabah (PENDARAH) yang diadakan di Dewan Belia Advent Labuaya Tuaran kelmarin.

Menurut Max Malinoh, pengerusi penganjur acara tersebut, ini merupakan jumlah tertinggi yang berjaya dikumpulkan berbanding kempen yang diadakan sebelum ini.

AJK Penganjur bersama kakitangan Unit Tabung Darah Hospital Tuaran selepas selesai acara

“Ini merupakan tahun ketiga kami menganjurkan acara ini dan ini adalah kali pertama kami mencapai jumlah 18 orang yang berjaya menderma darah walaupun terdapat 46 orang yang mendaftar di bahagian saringan kesihatan,” kata Max.

“Pada pertama kali kami menganjurkan acara ini, kami berjaya mengumpul hanya tujuh pain manakala tahun lalu kami berjaya mengumpul 11 pain. Ini sebenarnya merupakan acara tahunan yang kami adakan pada bulan April sempena perayaan Easter. Atas suatu sebab kami hanya berjaya menganjurkan kempen ini pada bulan ini.

Pasangan Suami Isteri turut menjayakan kempen tersebut
ATAS: Raywena dan Tan Poh Tai
BAWAH: Casianus (Kiri) dan Loretta (Kanan)

“Kami berharap, pada tahun hadapan, dengan adanya kempen kesedaran yang lebih meluas maka kami akan dapat menarik lebih ramai orang yang tampil untuk menderma darah.” Tambahnya.

Disamping kempen derma darah, acara lain turut diadakan iaitu beberapa khidmat percuma seperti Saringan Kesihatan, refleksologi, Pemeriksaan Enjin Kereta Berkomputer dan juga pameran buku-buku berunsur kesihatan.

Dari Kiri: Jackson, Elder Touni dan Pastor Herbert

Turut hadir semasa kempen tersebut ialah Elder Lesaya Lopog Sorudim, Elder Pentadbir dan juga ahli Executive Committee SDA Mission Sabah; Pastor Herbert Laung, pastor SDA daerah Tuaran. Turut hadir juga ialah Elder Touni Modili, Elder Pembangunan; Elder Joni Ugau, Ketua Deakon dan Elder Doreen Again.

Lesaya juga mewakili Pertubuhan Orang Asal Sabah (ORANG ASAL) yang turut sama menganjurkan kempen ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *