KOTA KINABALU: Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO), baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi membentuk sebuah majlis kolaboratif berkaitan usaha melindungi kanak-kanak di Sabah.
NGO terbabit ialah Persatuan Tadika Sabah (PTS), Persatuan C.H.I.L.D, Advocates for Non-Discrimination and Access to Knowledge (ANAK), Partners of Commubunity Organizations in Sabah (PACOS) dan Persatuan Perkhidmatan Taska Sabah (PPTS).
MoU yang ditandatangani kelima-lima pertubuhan itu pada 6 Mei lalu menandakan langkah signifikan ke arah menjamin kebajikan dan masa depan kanak-kanak di negeri ini.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Pengerusi PTS, Sonia Chin yang mengetuai majlis berkenaan berkata, tujuan asas majlis terbabit adalah untuk membela kepentingan menjaga dan melindungi kanak-kanak di Sabah.
Katanya, menerusi kerjasama itu, majlis berkenaan menyasarkan untuk mewujudkan pendekatan yang tersusun, membangun dan melaksanakan polisi penjagaan kanak-kanak, meningkatkan kesedaran, pendidikan dan memupuk budaya melindungi kanak-kanak di negeri ini.
Jelasnya, Sabah dikenal pasti sebagai satu daripada tiga negeri tertinggi laporan kes penderaan kanak-kanak di Malaysia.
Sehubungan itu, katanya majlis berkenaan akan mencari jalan mengatasi isu kritikal itu dan melindungi kanak-kanak di negeri ini.
“Sudah sampai masanya rakyat Sabah membela untuk kanak-kanak negeri ini. Kita mesti mengambil pendekatan proaktif untuk melindungi kanak-kanak yang akan menjadi generasi masa depan Sabah,” katanya.
Katanya, majlis berkenaan bersedia berkhidmat sebagai penerang harapan, platform perubahan dan menyatukan gerakan dalam usaha menjaga dan membela kanak-kanak di Sabah.
Jelasnya, ia adalah langkah penting ke arah mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan terjamin untuk semua kanak-kanak di negeri ini. – Info X
More Stories
Video dakwaan rasuah didalangi pembangkang, kata Masiung
PPM gagalkan cubaan seludup minyak masak, petrol
Cubaan seludup 1,300 liter minyak petrol gagal