Bandar Utama di Sabah akan diindahkan

KOTA KINABALU, 20 Nov — Kerajaan negeri sedang dalam perancangan untuk mengindahkan lagi bandar-bandar utama di Sabah dan dijadikan destinasi tarikan pelancong, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong.

Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri telah menggariskan beberapa inisiatif baharu Perancangan Pembangunan Landskap Negeri Sabah bagi merealisasikan rancangan tersebut.

“Inisiatif berkenaan ialah program pembangunan taman awam baharu, pembangunan landskap dan infrastruktur hijau, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pemeliharaan dan pemuliharaan.

“Selain itu, inisiatif yang digariskan ialah program promosi dan pengembangan industri landskap serta promosi landskap dan kesedaran awam serta program naik taraf taman awam dan baik pulih aset landskap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Tan Lee Fat  (DAP-Likas) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini yang ingin tahu inisiatif kerajaan untuk menceriakan dan mengindahkan lagi bandar-bandar di Sabah.

Jaujan berkata perancangan bagi pembangunan taman awam baharu berkenaan adalah berpandukan Pelan Induk Landskap yang disediakan untuk rujukan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemegang taruh yang berkaitan.– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *