D’Masiv bakal gegarkan Konsert Kupikupi FM

Lester (tengah) merakamkan gambar bersama para artis dan penaja konsert Kupikupi FM selepas sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: Peminat D’Masiv di Sabah kini berpeluang untuk menyaksikan band kegemaran mereka itu membuat persembahan apabila kumpulan daripada Indonesia berkenaan akan melakukan penampilan istimewa sempena Konsert Kupikupi FM pada 14 Disember ini.

Band yang pernah popular dengan lagu ‘Cinta Ini Membunuhku’ itu adalah kumpulan yang menjadi pilihan stesen radio komuniti tempatan Kupikupi FM, tahun ini, selepas beberapa band lain dari Indonesia turut pernah dijemput sejak konsert berkenaan diperkenalkan pada 2016.

Pengurus Program KupikupiFM, Lester Calvin Miol berkata, konsert berkenaan kali ini akan berlangsung di Pusat Kebudayaan Penampang dengan ramai lagi artis tempatan lain akan turut membuat persembahan.

“Untuk konsert KupikupiFM kali keempat ini, kami menampilkan band yang mempunyai nama lebih besar iaitu D’Masiv kerana kami yakin kumpulan ini mempunyai ramai peminat di Sabah.

“Kami sebenarnya sudah tiga kali mempelawa D’Masiv untuk membuat persembahan di konsert KupikupiFM yang diadakan setiap tahun dan syukur akhirnya tahun ini ianya menjadi kenyataan,” katanya pada sidang media konsert KupikupiFM, di sini, hari ini.

Lester berkata, selain D’Masiv, artis lain yang bakal menggegarkan konsert pada hari berkenaan ialah Estranged, Benzooloo, Queenera, Nurfaziaba Emran, Lobo, Fanzi Ruji, Fhilix Don, Popow, Hosiani Keewon, Tyka Buloonk, Ben Simon Bukag serta pemuzik RTM Sabah.

“Selain daripada konsert pada sebelah malam, pelbagai lagi aktiviti bakal diadakan di Pusat Kebudayaan Penampang termasuk karnival Singgah Kupi Kupi dengan sebanyak 20 gerai makanan serta minuman akan dibuka bermula jam 12 tengah hari.

“Sempena konsert itu nanti juga, kami akan tutut menyampaikan Anugerah Legend Kita yang ditaja oleh Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Kenny Chua, kepada Allahyarham Datuk MY Ismail kerana sumbangan dan jasanya kepada industri hiburan di Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada semua peminat muzik khususnya pendengar setia Kupikupi FM supaya datang beramai-ramai bagi menyaksikan konsert yang diadakan secara percuma berkenaan.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penaja utama iaitu Digi Rangkaian Terbesar Malaysia selain penaja-penaja lain iaitu Lintas Platinum Hotel, Mega Boogie Sound and Lighting Revolution, RTM, Daily Express, E-Cube, Millennium Video Production, LKS, SabahTravel.Com serta Leslie Isaac Velvia Photographic,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *