Dr Christina: Hospital Tuaran wajar dinaik taraf

TUARAN, 23 Sept — Hospital Tuaran, yang beroperasi tanpa pakar, wajar dinaik taraf menjadi sebuah hospital memiliki kemudahan perubatan penuh memandangkan pelanggan menerima rawatan di hospital itu tidak hanya dalam kalangan penduduk daerah ini.

Pengarah Kesihatan Sabah Dr Christina Rundi berkata Hospital Tuaran adalah antara hospital contoh di negeri ini, selepas Hospital Sipitang dan Hospital Kuala Penyu, yang telah berjaya memberi perkhidmatan sempurna kepada pesakit meskipun tanpa pakar.

Katanya, penaiktarafan kemudahan perubatan lengkap di Hospital Tuaran wajar dilakukan berikutan hospital itu mendapat banyak pengiktirafan sejak penubuhannya pada 1994, malah pada tahun ini, hospital berkenaan turut menerima beberapa anugerah termasuk Hospital Tanpa Sampah.

“Hospital Tuaran dilihat sebagai pusat rawatan paling hampir dengan Kota Kinabalu yang boleh menjadi hospital satelit untuk menerima pesakit dari luar daerah.

“Kemudahan perubatan di hospital ini layak dinaik taraf kerana pelanggannya tidak hanya penduduk Tuaran dan Kota Kinabalu tetapi juga dari daerah lain,” katanya pada Karnival Gaya Hidup Sihat, Ulang Tahun Keempat Fasa Dua Hospital Tuaran dan Hari Keluarga Hospital Tuaran di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Hospital Tuaran, Dr G Mohan Gopal Naidoo.

Dr Christina berkata ketika ini, Hospital Tuaran mendapat bantuan khidmat pakar dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah serta Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

Beliau mahu Hospital Tuaran terus mengekalkan reputasi dan kejayaan dicapai dengan mengekalkan perkhidmatan cemerlang sekali gus memastikan mereka mampu menyelesaikan banyak kes penyakit.– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *