KOTA KINABALU, 8 April — Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan hari ini mengulangi pendirian tegas mahukan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti diluluskan di Parlimen sebagai syarat utama dalam Perjanjian Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU).
Menurut Majlis Presiden PH, mereka tidak akan berkompromi dalam perkara ini dan menggesa Perdana Menteri untuk menyatakan komitmennya terhadap pembentangan RUU Anti Lompat Parti tersebut.
“Kami menggesa Perdana Menteri untuk menyatakan komitmen bahawa RUU Anti Lompat Parti tersebut akan dibentang untuk diluluskan di Parlimen dalam masa terdekat, manakala tarikh Sidang Khas kedua ini perlu ditetapkan dan diumum di Parlimen pada 11 April.
“Kami turut menggesa agar Menteri yang bertanggungjawab membentang Pindaan Perlembagaan pada 11hb April turut menyatakan dengan jelas di Parlimen apakah prinsip-prinsip asas RUU Anti Lompat Parti yang bakal dibentang dan diluluskan dalam Sidang Khas kedua nanti,” jelas kenyataan tersebut yang disiarkan hari ini.
Sementara itu, PH turut berpendirian akan menyokong Pindaan Perlembagaan pada sidang khas Parlimen 11 April ini dengan harapan memulihkan politik negara.
“Pakatan Harapan percaya dengan meluluskan Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti, kepercayaan rakyat terhadap proses pilihanraya dan demokrasi berparlimen akan dapat mula dipulihkan,” katanya.
Kenyataan tersebut telah dikemukakan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Dato Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Hj Mohamad Sabu, Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Anthony Loke, dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datu Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.
More Stories
Konvensyen UPKO untuk permerkasaan parti dan perjuangan rakyat: Ketua Penerangan
STAR, PBS dijangka tandatangani MoU Khamis ini
Saya masih Pengerusi PKR Sabah yang sah – Sangkar Rasam