Dua pendaki dari Kiulu lakar sejarah, tawan puncak Mera di pergunungan Himalaya

KOTA KINABALU: Dua pendaki dari Kiulu, Florensia Grace Gainus dan Shartner liew mencipta sejarah apabila berjaya menawan puncak Mera di pergunungan Himalaya, Nepal baru-baru ini.

Mereka berdua bersama rakan karib, Jaistin Paul Tamin sebagai ketua rombongan memulakan pendaikan mencabar ini pada 17 Disember lalu sebelum sampai ke puncak Mera secara berperingkat pada pagi 25 Disember.

Ketiga-tiga pendaki ini juga turut mencatat rekod apabila menjadi kumpulan pertama dari Pulau Borneo yang berjaya mendaki puncak Mera, Nepal.

Kumpulan ini sekali gus menyambut Krismas di puncak yang beraltitude tinggi dengan ketinggian mencecah 6,479 meter.

Selain Puncak Mera atau Mera Peak,

Pergunungan Himalaya juga memiliki

Gunung Everest yang tertinggi di dunia dengan ketinggian 8.849 meter atau 29.032 kaki.

Kegembiraan kumpulan ini menawan puncak Mera berganda terutama bagi Florensia yang kebetulan menyambut hari lahir pada 25 Disember.

Florensia berkata, kejayaan ini adalah simbolik hadiah yang amat berharga baginya dan pasti menjadi kenangan sepanjang zaman.

“Puji Tuhan, kami bertiga selamat sampai ke puncak Gunung Mera.

“Pendaikan amat mencabar sekali berbanding dengan pendakian Gunung Kinabalu, tetapi saya katakan pada diri saya, lakukan yang terbaik dan jangan putus asa.

“Berbekalkan semangat kental akhirnya kami bertiga berjaya sampai puncak Mera,” katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) di sini semalam.

Florensia yang disambut oleh keluarganya berkata, pendakian mereka membuatkan ibunya, Agnes Timah Dusip sangat risau, bagaimanapun bertukar lega apabila dia menghubungi ibunya melalui aplikasi Whatshap sebaik selamat turun ke base camp.

Sementara itu, Shartner turut gembira dengan kejayaannya menunaikan impian untuk meawan puncak Mera.

“Sebelum ini, banyak cerita yang saya baca mengenai nasib pendaki yang tidak berjaya sampai ke puncak Mera atau maut ketika dalam perjalanan ke puncak, namun ia tidak mematahkan semangat kami untuk terus berjuang ke destinasi iaitu puncak Mera.

“Selepas sehari melakukan pendaikan dari base camp, tahap keyakinan saya untuk sampai ke puncak semakin meningkat, syukur tahap kesihatan saya baik, sekali gus memudahkan perjalanan mendaki gunung Mera,” katanya.

Dalam pada itu, Jaistin yang berasal dari Membakut berkata, mereka bersyukur kerana berjaya menawan puncak gunung itu selepas menempuh pelbagai halangan dan cabaran.

“Gunung Mera Peak adalah antara gunung yang sangat popular dalam kalangan pendaki di seluruh dunia kerana cuaca yang sangat ekstrim dan cabaran bentuk muka bumi yang sukar.

“Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,” katanya.

Ketiga-tiga mereka menerima sijil kejayaan mendaki gunung Mera daripada Nepal Mountaineering Association (NMA) and Everest Trekking Routes Pvt Ltd.

Menurut rekod NMA, ketiga-tiga pendaki Sabah itu adalah kumpulan pertama dari Pulau Borneo yang berjaya mendaki puncak Mera, Nepal.