IDEAS gesa dana awam dimasuk dalam RUU sumbangan politik

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menuntut pendanaan awam dimasukkan dalam Rang Undang-undang (RUU) pendanaan politik yang sedang dirangka kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Tricia Yeoh, berkata pendanaan awam akan memastikan pentas politik lebih adil kepada semua parti politik.

Katanya, pendanaan itu juga mengurangkan kebergantungan terhadap sumbangan swasta dan menggalakkan ketelusan.

“Kami menantikan untuk terlibat dalam proses perundingan sebelum pembentangan RUU pendanaan politik.

“Kita ulangi gesaan pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai pendanaan politik untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berbilang Parti di mana kajian semula menyeluruh dan inklusif terhadap RUU yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan boleh dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Tricia berharap elemen penting yang terdapat dalam RUU versi KRPPM mengenai pendanaan politik itu akan dimasukkan ke dalam draf RUU versi kerajaan.

Beliau berharap perundingan berkenaan dimulakan dalam tempoh dua minggu akan datang susulan sesi persidangan Parlimen pada 5 Okt 2022.

“Kami berharap untuk dijemput sebagai sebahagian daripada proses perundingan ini. Kami menantikan untuk terlibat dalam proses perundingan sebelum pembentangan RUU pendanaan politik,” katanya.

Semalam Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata RUU sumbangan politik akan dikawal selia sebuah entiti bebas dikenali sebagai Pengawal Selia Sumbangan Politik pada peringkat persekutuan dan negeri.

Beliau berkata, pandangan pihak berkepentingan termasuk parti politik turut diambil kira sebelum RUU itu dibentang untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.