Jadikan Rukunegara Sebagai Panduan Asas Uruskan Negara – Ewon

KOTA BELUD: Prinsip Rukunegara harus dijadikan sebagai panduan asas oleh semua rakyat Malaysia untuk menguruskan masa depan negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kelima-lima prinsip Rukunegara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan sudah cukup sebagai asas utama kepada kerjasama semua rakyat berbilang bangsa dan agama di negara ini untuk memastikan masa depan negara terus diurus dengan baik.

“Kalau kita dapat mengamalkan prinsip Rukunegara ini dalam perkhidmatan awam dan swasta, dalam kepimpinan serta kehidupan berkomuniti kita, maka kita sebenarnya sudah boleh menjaminkan keamanan, keselamatan, keharmonian dan kemakmuran negara kita yang terdiri daripada masyarakat majmuk.

Ewon bergambar bersama para pelajar SMK Narinang, johan kategori sekolah menengah.

“Dalam sambutan bulan kemerdekaan ini, kita semua telah memperbaharui ikrar Rukunegara kita. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengamalkan ikrar kita ini dalam perkhidmatan, kepimpinan dan kehidupan seharian kita,” katanya.

Ewon berkata demikian semasa melancarkan Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Daerah Kota Belud di Dataran Kota Belud, di sini, hari ini.

Pada sambutan itu sebanyak 39 kontinjen pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk pelajar sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai perbarisan melibatkan lebih 1,200 orang peserta iaitu satu peningkatan besar penyertaan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, rakyat Malaysia bertuah memiliki negara sendiri dan berpeluang merayakan sambutan kebangsaan dan kemerdekaan dalam suasana aman, damai, selamat dan harmoni.

Ewon bergambar bersama UPPM Kadamaian yang turut menyertai perbarisan itu

“Kita ambil ikhtibar masih ada orang di dunia ini yang tidak mempunyai negara sendiri. Ada juga negara yang tidakpun mempunyai sambutan kemerdekaan dan kebangsaan kerana perang saudara atau perang antara kaum dalam negara tersebut.

“Oleh itu inilah peranan kita sebagai warganegara Malaysia untuk terus mempertahankan kemerdekaan dan mengisinya dengan pengurusan masa depan negara sebaiknya.

“Semua itu kita boleh zahirkan dengan mengamalkan semangat prinsip Rukunegara yang kita ikrarkan bersama,” katanya.

Beliau turur merakamkan penghargaan kepada Pegawai Daerah Kota Belud, Hajah Diyanah Abdullah kerana telah memastikan kelancaran pentadbiran daerah Kota Belud termasuk sambutan-sambutan rasmi seperti bulan kemerdekaan.

Ewon bergambar bersama pasukan PDRM Kota Belud yang menyertai perbarisan itu.

“Saya juga merakamkan penghargaan kepada semua anggota beruniform termasuk pasukan pertahanan dan keselamatan kita yang terus memastikan keamanan dan keselamatan dalam negara terjamin.

“Begitu juga kepada semua anggota perkhidmatan awam, rakyat mengharapkan agar kita dapat memberikan pelayanan serta perkhidmatan terbaik kepada mereka di setiap kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan.

“Inilah tugas kita bagi mengisi kemerdekaan ini dengan memberikan kepimpinan dan perkhidmatan terbaik dan cemerlang. Saya juga ucapkan terima kasih kepada semua pemimpin, penjawat awam dan komuniti Kota Belud yang telah menguruskan pembangunan daerah selama ini dan kita akan teruskan kerjasama ini berasaskan kepada pembudayaan prinsip Rukunegara,” katanya.

Sempena sambutan bulan kemerdekaan, Ewon mengajak semua komuniti Kota Belud terus mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah sebagai tanda penghargaan dan patriotik kepada negara.

Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan kawad perbarisan bagi kategori-kategori yang dipertandingkan.

Johan bagi kategori sekolah rendah dimenangi SK Kinasaraban, SK Tamau (Naib Johan) dan SK Tambulion (tempat ketiga).

Ewon menyampaikan hadiah kepada pasukan SK Kinasaraban, johan kategori sekolah rendah.

Bagi kategori sekolah menengah pula tempat pertama dimenangi SMK Narinang, SMK Pekan 2 (kedua) dan SMK Agama Tun Said (ketiga).

Manakala bagi kategori NGO tempat pertama dimenangi Persatuan Belia Kota Belud, tempat kedua Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA) dan ketiga Persatuan Vateran ATM cawangan Kota Belud.

Turut hadir Adun Tempasuk Datuk Musbah Jamli, Adun Usukan Datuk Japlin Akim, Pegawai Daerah Kota Belud Hajah Diyanah Abdullah, Ketua Polis Daerah Kota Belud Supritenden Mohd Zaidi Abdullah serta para pemimpin masyarakat dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *