Jambatan Labuan-Sabah pacu ekonomi pulau, kata bekas Ahli Parlimen

PETALING JAYA: Jambatan menghubungkan Labuan dan Sabah perlu dibina bagi meningkatkan pembangunan ekonomi pulau itu, kata seorang bekas Ahli Parlimen.

Bekas Ahli Parlimen Labuan, Rozman Isli, berkata sudah 39 tahun Labuan menjadi persekutuan tetapi pembangunan di pulau itu masih “kurang memuaskan” dan “biasa”.

“Dengan adanya jambatan itu, Labuan akan menjadikan semua kawasan barat daya termasuk pedalaman selatan Sabah, sebagai kawasan pedalamannya.

“Mereka akan melihat Labuan sebagai pusat bandar mereka untuk pelabuhan dan lapangan terbang dan oleh itu, ia akan menjadi pusat pengedaran produk import dan hab eksport produk tempatan.

“Perkembangan itu juga bermakna Labuan akan mempunyai hospital pakar kerajaan yang besar untuk memberi khidmat di seluruh wilayah, mengatasi kesesakan Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu,” katanya kepada FMT.

Rozman berkata, sebuah jambatan juga akan membolehkan lebih banyak pergerakan antara Labuan dan Sabah, sama seperti jambatan Pulau Pinang, menghubungkan pulau itu ke tanah besar dan laluan kedua yang menghubungkan Johor ke Singapura.

Katanya, ia akan merangsang aktiviti ekonomi, meningkatkan peluang pekerjaan serta merancakkan pelancongan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata cadangan jambatan Labuan-Sabah bukanlah keutamaan segera.

Dasar ekonomi lebih baik

Bagaimanapun, Pengerusi Persatuan Syarikat-Syarikat Amanah Labuan (ALTC), Chin Chee Kee, percaya jambatan itu tidak diperlukan untuk memacu ekonomi Labuan.

Sebaliknya, katanya, dasar ekonomi lebih baik diperlukan.

“Keutamaan Labuan sekarang adalah untuk menggiatkan semula ekonomi.

“Apabila ekonomi dipulihkan maka keperluan untuk jambatan itu akan datang secara semula jadi untuk menghubungkan Sabah dan menghubungkan dengan lebuhraya Pan Borneo dan seterusnya, ke ibu negara baharu Indonesia, Nusantara,” katanya.

Chin berkata, buat masa ini, Labuan perlu ada laluan udara lebih baik untuk menghubungkan pulau itu ke Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur, serta jeti dinaik taraf untuk memudahkan pergerakan orang dan barangan.

Katanya, salah satu perkara perlu diteliti ialah merombak Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (IBCF) untuk menjadikannya lebih kompetitif dan menarik.

“Selepas 33 tahun, kita benar-benar perlu melihat dengan serius Labuan IBFC untuk memodenkan undang-undang dan insentifnya bagi menarik gelombang baharu pelabur asing untuk datang ke Labuan.”

Chin berkata, status bebas cukai penuh di Labuan juga perlu dipulihkan untuk mempromosikan pelancongan.

Pada masa ini, barangan seperti tembakau dan rokok dikenakan cukai.

Kawasan perindustrian

Dalam pada itu, Rozman berkata kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mewujudkan kawasan perindustrian di Labuan, sama seperti Prai di Pulau Pinang.

“Kawasan perindustrian besar boleh dibangunkan dengan melaksanakan dasar kerajaan untuk mengehadkan eksport metanol dari Labuan Petronas kepada 50% dan menjadikan 50% lagi tersedia untuk produk berasaskan metanol dikeluarkan di Labuan,” katanya.

Beliau berkata, Labuan juga perlu dijadikan hab pembinaan kapal, bermula dengan penyelenggaraan kapal tentera laut di Labuan Shipyard dan bukannya menghantarnya ke Boustead Naval Shipyard di Lumut, Perak.