Kajian gubal akta kebebasan maklumat di peringkat akhir, kata Ramkarpal

PETALING JAYA: Kajian dasar menggubal akta kebebasan maklumat berada pada peringkat akhir, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh.

Katanya, matlamat cadangan penggubalan akta itu untuk memastikan hak rakyat mendapatkan akses kepada maklumat sahih lebih terbuka dan telus
daripada kerajaan.

Beliau berkata, kebanyakan maklumat milik kerajaan dan badan awam secara prinsipnya terbuka diakses dengan pengecualian bagi maklumat tertentu seperti maklumat peribadi, selain maklumat boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Pada masa ini BHEUU (Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang) berada di peringkat akhir untuk menyelesaikan tugas-tugas kajian dasar berkaitan cadangan gubalan akta ini,” katanya dalam kenyataan.

Ramkarpal kerkata kajian dasar mengenai akta itu juga mengenalpasti jika terdapat sebarang percanggahan dengan Akta Rahsia Rasmi serta akta lain yang sedang berkuat kuasa.

Satu kertas kajian dasar akan disediakan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Jemaah Menteri bagi mendapat keputusan muktamad hala tuju dasar selanjutnya.

“Hari ini, BHEUU telah menganjurkan program libat urus inisiatif ke arah kebebasan maklumat bersama agensi penguatkuasaan, keselamatan, dan pertahanan. Sudah pastinya akan memberikan input tambahan mengenai beberapa persoalan dasar berkaitan kesesuaian perkongsian maklumat ke arah penggubalan akta kebebasan maklumat.

“Kerajaan juga sedang meneliti cadangan menubuhkan Suruhanjaya Maklumat sebagai sebuah badan pengawal bebas yang bertanggungjawab mengawal selia akta berkenaan,” katanya.

Menurutnya, semua agensi kerajaan secara prinsipnya bersetuju kebebasan maklumat dapat menyumbang kepada pemerkasaan dan kesaksamaan semua lapisan masyarakat.

Pada 11 Jul 2018, Jemaah Menteri bersetuju akta kebebasan maklumat digubal dan pelaksanaan cadangan itu diletakkan di bawah bidang kuasa menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan undang-undang) serta dibantu Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) ketika itu.