KBS bantu selesaikan masalah yang dihadapi skuad bola sepak wanita Sabah

KOTA KINABALU, 7 Okt — Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah akan berusaha membantu menyelesaikan beberapa masalah dihadapi pasukan bola sepak wanita Sabah, termasuk masalah kelewatan bayaran gaji dan elaun.

Menterinya Phoong Jin Zhe berkata perkara itu perlu dilihat secara serius, kerana ia membabitkan pasukan bola sepak wanita Sabah, yang juga kebanyakannya bermain untuk pasukan negara.

“Oleh itu kita bersedia berjumpa dengan pihak yang berkenaan termasuk Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), untuk bekerjasama menyelesaikan masalah yang dihadapi pemain berkenaan,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan 15 pemain bola sepak Sabah yang akan mewakili Malaysia ke Sukan SEA 2019, Manila, Filipina.

Phoong berkata semasa perjumpaan itu terdapat beberapa masalah yang disampaikan para pemain termasuk, kelewatan bayaran gaji dan elaun.

“Oleh itu kita akan mendapatkan maklumat secara terperinci mengenai perkara itu, sebelum kita mencari jalan penyelasaian untuk membantu mereka,” tambahnya.

Sementara itu, Phoong mengucapkan tahniah kepada semua pemain Sabah yang akan mewakili Malaysia pada Sukan SEA 2019.

“Lima belas daripada 25 pemain yang akan mewakili negara adalah dari Sabah dan kita perlu berbangga dengan itu…oleh itu kita berharap mereka akan mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di Manila hujung tahun ini,” katanya.– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *