MADIUS JEMPUT PELABUR JEPUN KE SABAH

BAKAL PELABUR… Madius (kiri) menerima cenderakenangan daripada wakil syarikat F Bit selepas pertemuan dua hala pagi tadi.

KOBE, JEPUN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau yakin lebih ramai pelabur dari Jepun akan melebarkan perniagaan mereka ke Sabah.

“Kita mendapat banyak pertanyaan dan komunikasi mengenai minat mereka. Dalam beberapa hari ini, kita akan berjumpa dan mengadakan beberapa pertemuan dua hala; kita mahu menjemput mereka.

Kita doakan agar mereka akan melabur di Sabah, sekali gus membantu memperkukuhkan sektor industri dan ekonomi Sabah,” kata beliau.

“Saya membawa para pengawai terkanan saya. Selain di Kobe ini, kita juga akan mengadakan seminar dan mesyuarat dua hala di Nagoya serta Tokyo, dan juga di Busan, Korea Selatan,” tambah beliau yang juga merupakan Menteri Perdagangan dan Perindustrian (MTI) Sabah.

“Kita berterima kasih kepada Putrajaya dan Pejabat Ketua Menteri Sabah kerana membawa MTI dalam program ini, sekaligus memberikan kita peluang untuk menawarkan pelbagai jenis pelaburan dalam sector perindustrian kepada usahawan Jepun,” tambah beliau ketika ditemui di Hotel Okura disini dalam taklimat awal untuk Trade and Investment Mission anjuran MATRADE, MITI dan MIDA.

Madius, Presiden UPKO, tiba di sini jam 6.50 pagi pagi tadi dalam program lawatan kerja selama seminggu untuk menarik pelabur ke Sabah.

MADIUS (kiri) bersama Shafie dan Darrel dalam salah satu pertemuan pagi tadi.

Delegasi Sabah diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal manakala Putrajaya diketuai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian, Datuk Darrel Leiking.

Madius membawa bersama beliau, setiausaha tetap MTI, Datuk Madiyem Layapan, pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Datuk Stephen Sampil, dan ketua pengarah eksekutif iaitu Datuk Dr Pang Teck Wai (POIC Lahad Datu), Datuk Ir Melvin Disimond (KKIP), Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir (SEDCO), Ismail Sakilan (Sandakan Furniture Hub) manakala Dr Geaneve Jane Samil (SOGDC) akan serta sama di Busan.

Selepas bersarapan pagi tadi, Madius ke mesyuarat bermula jam 9.15pagi bersama F Bit Communication Corporation, kemudian dengan Daiwa House sebelum menyertai Shafie dan Leiking untuk precouncil dengan lebih 130 ahli delegasi daripada Malaysia.

Madius berkata, “Daripada maklum balas yang kita terima melalui pelbagai agensi dan jabatan, sememangnya Malaysia dan terutama Sabah menarik minat peniaga Jepun kerana kita mampu menawarkan peluang pelaburan yang berdaya saing dan bersifat jangka masa panjang.

“Kedudukan Sabah yang berjiran dengan Kalimantan serta Selat Lombok-Makassar adalah antara keunikan dan tarikan utama pelaburan asing. Pelabuhan kita di POIC Lahad Datu pastinya boleh menjadi lokasi terbaik untuk rantau ini.”

Madius berkata Sabah terletak ditengah-tengah Brunei-Indonesia-Malaysia-Phillipines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) dan mempunyai lebih 600 juta penduduk.

Seminar on Business Opportunities in Malaysia juga diadakan hari ini serta beberapa lagi pertemuan dengan bakal-bakal pelabur seperti Akashi Kikai Co. Ltd, dan Towa Corporation.

Madius akan ke Nagoya pada 1 Disember, sebelum ke Tokyo pada 2 Dis dan Busan pada 6 Disember.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *