Madius: KPP Telah Menyediakan 9,710 Peluang Pekerjaan Setakat Ini

Madius Ketika Menyampaikan Ucapan Penggulungan pada sidang DUN kelmarin.

Oleh: Janecarr Yado

KOTA KINABALU (Dewan Undangan Negeri): Kementerian Perdagangan dan Perindustrian telah menyediakan sebanyak 9,710 peluang pekerjaan setakat ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata peluang pekerjaan tersebut telah diwujudkan melalui taman-taman perindustrian dibawah kementeriannya.

Menurut Madius, daripada jumlah itu, 1,300 pekerjaan telah diwujudkan secara langsung oleh dua puluh empat (24) syarikat yang telah siap mendirikan kilang di POIC Lahad Datu.

Madius berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Nizam bin Datuk Haji Abu Bakar Titingan, Ahli Dewan Undangan Negeri Apas tentang isu berkaitan kekurangan peluang pekerjaan, impak pengharaman eksport kayu balak dan isu berkaitan bekalan air semalam di sini.

Selain itu, Madius menegaskan sebanyak 28 syarikat yang telah melabur di POIC Lahad Datu berada di pelbagai peringkat perancangan dan pembinaan yang mana syarikat tersebut akan dapat mewujudkan di antara 1,000 hingga 1,500 peluang pekerjaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Bagi syarikat-syarikat pembuatan di KKIP pula iaitu sebanyak 241buah telah mewujudkan 8,014 peluang pekerjaan setakat ini, tambahnya.

Walaupun begitu, di SOGIP pula, hanya satu projek yang beroperasi setakat ini iaitu projek SAMUR yang dimiliki sepenuhnya oleh PETRONAS dan menyediakan peluang pekerjaan kepada seramai 396 orang dan 75% daripadanya adalah warga tempatan Sabah.

Dalam pada itu, Madius turut menyatakan bahawa pengharaman eksport kayu balak akan memberikan banyak impak positif kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan Sabah walaupun masih berhadapan pelbagai cabaran.

Menurut Madius kilang-kilang yang akan mengeluarkan produk nilai ditambah tinggi seperti perabot dapat bekalan bahan mentah.

Madius turut memaklumkan impak pertama melalui pengharaman itu adalah terdapat organisasi yang terlibat dalam industri huluan dengan hiliran yang dahulunya tidak sehalun kini telah ke arah kerjasama yang mantap untuk industri kayu kayan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *