MADIUS: LARIAN BUKTI JELAS RAKYAT BERSATUPADU

LARIAN PERPADUAN…. Madius memulakan program tahunan di Kompleks Sukan Likas petang kelmarin

KOTA KINABALU: Penyertaan lebih 3500 atlet dalam Larian Pisompuruan 2019 adalah bukti jelas betapa rakyat Malaysia di Sabah bersatu padu.

“Begitu ramai hadir, begitu banyak bukti. Ini satu kenyataan bahawa sahnya kita satu hati, kita mahu perpaduan wujud, kita menghargai dan Sayangi Malaysiaku,” kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

BUKTI JELAS …. lebih 3500 berlari untuk perpaduan

“Lebih 3,500 mendaftar, daripada pelbagai lapisan masyarakat, dan suku kaum. Mereka membayar sendiri yuran penyertaan, ertinya, para peserta sesungguhnya mengiktiraf betapa pentingnya perpaduan dengan mengikuti larian ini. Terima kasih semua,” tambah beliau lagi.

Madius, yang juga merupakan Presiden UPKO menambah, larian edisi ke-empat ini adalah antara pengisian tahunan kepada sambutan Hari Malaysia. Tiga hari lalu, Forum Hari Malaysia telah dianjurkan.

“Kita akan terus menyokong program seperti ini. Saya selalu beri penekanan betapa kemakmuran, keamanan dan kemajuan tidak datang bergolek. Mari usaha bukan sahaja kekalkan tetapi mempertingkatkan lagi semua impian kita selaras Perjanjian Malaysia 1963,” tambah beliau.

Sementara itu Naib Presiden UPKO merangkap Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ewon Benedick berkata, larian itu membuktikan bahawa sukan boleh menjadi pemangkin perpaduan.

“Ini juga adalah pengesahan betapa kita semua telah lama menginginkan masyarakat yang lebih harmonis dan harmonis yang kekal sejati dengan semangat Rukun Negara.

“Kita juga mahu negara ini diterajui dan dikendalikan oleh para pemimpin yang bijak dan berani supaya kita maju sebagai satu keluarga besar secara demokratik, secara progresif dan cekap,” kata beliau.

EWON (kiri), Madius (tengah) dan kepimpinan UPKO sama-sama menyanyikan lagu Negaraku serta Sabah Tanah Airku sebelum larian dimulakan…… bersatupadu

Ewon menambah, “saya gembira kerana ramai yang datang dari kawasan luar bandar, dari Tawau, Sipitang, Nawaban, Pitas, Paitan, Beluran, Keningau, memandu begitu jauh hanya untuk mengambil bahagian.

“Mereka juga mahu bersama dengan yang lain di kawasan bandar, mereka juga mahu menjadi sebahagian daripada pembangunan negara bangsa. Saya gembira menjadi sebahagian daripada acara ini sejak mula-mula diadakan beberapa tahun yang lalu,” tambah beliau lagi.

Pengerusi pelaksana, Felix Joseph Saang daripada Yayasan Kepimpinan Momogun berterima kasih kepada kepimpinan UPKO atas sokongan penuh selama ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *