MADIUS: Rujuk Pindaan RUU Ke Jawatankuasa Pilihan

Madius kemuka usul pindaan RUU dirujuk dahulu ke Jawatankuasa Pilihan Khas

BANGUNAN PARLIMEN: Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) Fasal 1(2) yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat bagi Bacaan Pertama pada 4 April 2019 lalu hendaklah di rujuk terlebih dahulu ke Jawatankuasa Pilihan Khas sebelum diteruskan untuk Bacaan Kedua yang dijadualkan esok (Selesa) petang.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menegaskan  proses itu wajib seandainya Kerajaan Persekutuan betul-betul serius untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963.

“Justeru,  saya memohon berlandaskan Peraturan Mesyuarat, Perkara 54(1),  supaya RUU itu dirujuk dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan. Saya telah memaklumkan perkara ini  kepada Parlimen pada petang Ahad manakala surat asli dihantar kepada Yang DiPertua Dewan Rakyat pada pagi tadi (Isnin),” ujar Madius.

“Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) tersebut yang dikatakan dibuat secara tergesa gesa telah menerima pelbagai reaksi negatif daripada ahli ahli Dewan dan juga  semua lapisan masyarakat terutama di Sabah dan Sarawak.

“Taklimat sejurus selepas pembentangan yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan semua ahli-ahli Dewan Rakyat telah di jemput hadir, membuktikan bahawa pelbagai cadangan dan persoalan berbangkit,” kata beliau.

Cadangan pindaan itu telah dibentangkan untuk Bacaan Pertama oleh Datuk VK Liew,  Menteri di Jabatan  Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Batu Sapi pada 4 April 2019.

Madius menerangkan, “wajar diingat,  niat Jawatankuasa Pemandu Kajian Perlaksanaan Perjanjian Malaysia 1963,  yang di pengerusikan oleh YAB Perdana Menteri yang telah mencadangkan dan di terima oleh Jemaah Kabinet Persekutuan, bahawa Fasal 1(2) hendaklah dipinda untuk mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai equal partner dalam Persekutuan Malaysia dalam masa terdekat.”

“Walau bagaimana pun, tidak ada deraf Pindaan dibentangkan dalam Jawatankuasa Pemandu untuk memperincikan perkataan-perkataan  yang di gunakan dalam cadangan Pindaan tersebut,” tambah beliau yang juga adalah salah seorang ahli Jawatankuasa Pemandu.

Madius menggesa speaker Dato Mohamad Ariff bin Md Yusof untuk bersetuju dengan usul itu kerana implikasi dan kesan Pindaan ini adalah besar terhadap urustadbir Kerajaan Malaysia.-

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *