KUALA LUMPUR, 10 Mei – Permohonan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan keterangan direkodkan 15 saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes rasuahnya membabitkan Dana Yayasan Akalbudi (YAB) telah ditolak Mahkamah Tinggi, semalam.
Menurut Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, mahkamah menganggap dasar awam dan kepentingan awam paling utama dalam menentukan permohonan itu, seperti yang diputuskan oleh keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Suruhanjaya Sekuriti.
“Pada pandangan saya, dasar awam dan elemen kepentingan awam diperluaskan ke peringkat pembelaan perbicaraan jenayah.
“Mereka (saksi) boleh dikenakan ugutan dan contohnya dipaksa menarik balik apa yang ada dalam kenyataan.
“Balas dendam mungkin diambil atas apa yang didedahkan dalam kenyataan dan ini bukan tidak berasas.
“Saksi yang berpotensi akan keberatan untuk tampil memberikan keterangan dan bukti kerana kerahsiaan tidak terjamin dan akan ada halangan dalam pentadbiran keadilan,” katanya.
Selain itu, Sequerah turut berkata bahawa pegawai penyiasat SPRM Khairudin Kilau telah melahirkan kebimbangannya tentang mengapa kenyataan daripada saksi pendakwaan yang ditawarkan kepada pihak pembelaan tidak wajar diberikan.
“Khairudin mendedahkan dalam afidavitnya bahawa saksi mempunyai keistimewaan kerana mereka dibuat dalam proses komunikasi rasmi dan secara rahsia kepada SPRM,” katanya.
Menurut Hakim, Khairudin berpandangan sebarang pendedahan akan menjejaskan kepentingan awam kerana kenyataan itu dibuat atas kepercayaan dan jangkaan ia akan kekal sulit.
Khairudin berkata ini akan menyebabkan saksi akan datang teragak-agak untuk memberikan kenyataan dan ini sekali gus akan membantutkan siasatan masa depan, katanya.
Beliau berkata kebimbangan Khairudin adalah dalam lingkungan Seksyen 124 Akta Keterangan.
Seksyen 124 menyatakan bahawa tiada pegawai awam boleh dipaksa untuk mendedahkan komunikasi yang dibuat kepadanya secara rahsia rasmi apabila dia (Khairudin) menganggap bahawa kepentingan awam akan terjejas oleh pendedahan itu.
Pada 18 Feb lepas, pihak pembelaan memfailkan permohonan untuk mendapatkan keterangan 15 saksi berkenaan.
Pihak pembelaan meminta keterangan saksi, termasuk Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi, yang merupakan abang kepada Ahmad Zahid, memandangkan kenyataan Mohamad Nasaee itu penting bagi pertuduhan ke-11 yang dihadapi Ahmad Zahid.
Pada 24 Jan tahun ini, Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Ahmad Zahid memberi keterangan dalam perbicaraan pembelaannya pada 13 April dan akan kembali memberi keterangan pada 23 Mei.
More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK