Sindiket ‘pembuyuk’ tender kerajaan ‘bungkus’ oleh SPRM

Satu sindiket kartel mengendalikan lebih 150 syarikat yang memonopoli tender kerajaan bernilai RM3.8 bilion berjaya ditumpaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan tangkapan tujuh orang suspek.

Menurut sumber, tujuh suspek itu, termasuk seorang berusia 47 tahun yang mengetuai sindiket terbabit.

“Ketua sindiket tersebut mengawal lebih 150 buah syarikat yang digunakan untuk memasuki tender/sebut harga di kementerian dan agensi yang terlibat. Beliau dikatakan menggajikan individu-individu sebagai pengarah syarikat.

“Sindiket ini telah beroperasi sejak tahun 2014 hingga sekarang,” kata sumber.

Sumber berkata, sindiket itu menumpukan projek penyelenggaraan fasiliti dan projek pembangunan.

“Sindiket dipercayai mendapat kerjasama ‘orang dalam’ di kementerian dan agensi terlibat untuk memastikan syarikat di bawah kawalan beliau dibenarkan masuk tender dan memastikan salah satu daripadanya berjaya.”

Katanya, kartel itu akan membayar rasuah “orang dalam” untuk mendapatkan maklumat berhubung tender, termasuk spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan “masa yang sesuai” untuk menghantar borang tender.

Sejumlah besar syarikat di bawah oleh kartel itu kemudian akan memasuki tender mengikut harga yang berbeza-beza berdasarkan harga siling yang ditetapkan untuk “mengepung harga”.

“Sindiket ini menggunakan nama beratus individu untuk membuka syarikat di bawah naungannya.”

Kata sumber itu lagi, dipercayai butir kelayakan akademik dan kelayakan profesional bagi kebanyakan penama yang digunakan untuk menubuhkan syarikat adalah palsu, termasuk penyata kewangan syarikat mereka.

Katanya, SPRM membuat intipan dan pemantauan juga dijalankan di pusat operasi sindiket berkenaan malam tadi, dengan beberapa tangkapan dibuat.

“Hampir keseluruhan ahli sindiket berkumpul untuk mengisi borang tender. Serbuan SPRM mengejutkan semua yang hadir dan beberapa tangkapan dibuat,” tambah sumber itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan penangkapan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 dan 18 Akta SPRM 2009.

Azam tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk perintah reman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *