KUALA LUMPUR, 3 Mac – Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran) meminta kerajaan untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Audit dan Forensik Pemilih sebelum Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.
Menurutnya, dengan menubuhkan jawatankuasa ini, kesahihan senarai pengundi yang didaftar secara automatik dapat diaudit dan latarbelakang setiap pemilih diragui yang memiliki dokumen Kewarganegaraan dapat disiasat.
“Pengundi yang memegang dokumen Kad Pengenalan yang diragui serta pengundi yang sudah meninggal dunia haruslah dibersihkan sebelum ianya digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).
“Pelbagai kajian telah dibuat oleh para sarjana tentang gejala pertumbuhan penduduk Sabah yang sangat luar biasa dengan lebih satu juta orang pemegang Kad Pengenalan yang diragui.
“Oleh itu, ianya sangatlah penting untuk memperbetulkan Integriti senarai pemilih di Sabah,” katanya.
Madius yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata demikian pada sesi ucapan perbahasan usul, menjunjung kasih Titah Ucapan DiRaja dalam Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini, semalam.
Sehubungan itu, Madius turut memohon agar kerajaan mengakui dan mempertimbangkan dengan teliti tentang kesaksian Jabar Khan Napo dan Hassnar Ebrahim mengenai integriti semasa Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada 26 Februari 2007.
“Ini merupakan bukti kukuh bahawa satu Petugas Khas United Malays National Organisation (UMNO) Sabah pada tahun 1991 telah memberikan kad pengenalan kepada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) lalu didaftarkan sebagai pemilih dan diagihkan ke beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri Sabah dengan tujuan untuk menumbangkan kerajaan pimpinan parti tempatan pada ketika itu.
“Sehingga pada hari ini tidak ada penafian dari para pengkhianat yang terlibat dalam Projek IC tersebut. Walaupun kedua-dua saksi tersebut telah ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) selama dua tahun, namun mereka tidak pernah didakwa di Mahkamah terbuka sama ada oleh pihak kerajaan mahupun di saman oleh pengkhianat,” ujar Madius.
Mengulas lanjut, kebanjiran PATI di Sabah hendaklah diselesaikan secara tuntas mengikut empat kategori utama iaitu Pendatang Tanpa Izin (PTI), Pelarian Perang (Refugees), Tanpa Warganegara (Stateless) dan warga asing yang telah mendapatkan kerakyatan dan memperolehi Kad Pengenalan secara haram.
More Stories
Polis Sabah, SKMM pantau isu sensitif di media sosial
SMJE jual minyak mentah pertama 2025 bernilai RM100 juta
6 kompaun dikeluarkan kepada penjaja ingkar arahan di Pasar KK