PKPD di beberapa lokaliti termasuk beberapa tempat di Sabah bermula Jumaat ini

Kerajaan memutuskan melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di Negeri Sembilan, Kelantan dan Sabah bermula 2 Julai hingga 15 Julai ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD itu dikenakan di Penjara Jelebu (kecuali Blok Muhasabah yang menempatkan tahanan PTP) dan Kuarters Kakitangan, Jelebu, Negeri Sembilan; Kampung Pangkal Jetas, Machang, Kelantan; dan Taman Public, Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau turut mengumumkan PKPD di Kampung Landung Ayang, Kudat, Sabah yang sepatutnya tamat pada 1 Julai dilanjutkan sehingga 15 Julai.

Semua PKPD itu dilaksanakan berikutan Kementerian Kesihatan mendapati penularan berlaku dan masih dalam komuniti, selain kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut.

Dalam pada itu, Ismail juga berkata terdapat beberapa lokaliti ditamatkan PKPD seperti di
Kampung Bukit Gemuk, Tawau, Sabah; Kampung Tanjung Batu Keramat, Tawau, Sabah; Perumahan Etara, Jalan Agaseh, Lahad Datu, Sabah; Taman Lavender, Kudat, Sabah dan Kampung Serikin, Bau, Kuching, Sarawak.

Beliau berkata semua PKPD ditamatkan seperti dijadualkan bermula esok berikutan KKM mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal.

“Manakala semua kes positif telah menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata seramai 600 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 592 individu dikompaun manakala lapan lagi
direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (136), tiada penjarakan fizikal (125), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran/makan/minum di premis (104), tidak memakai pelitup muka (96), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (70), membawa penumpang berlebihan (30), premis gagal patuhi arahan (12) dan lain-lain (27),” katanya.