SOP kini dipanggil ‘Semua Orang Pening’, mengelirukan rakyat: Madius

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menegur Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan yang disifatkannya mengelirukan rakyat.

Beliau meminta penjelasan apa sebenarnya belaku dengan memberi contoh beberapa situasi di Sabah.

“Kerajaan Negeri Sabah boleh mengumumkan satu pendirian bahawa boleh dine-in (makan dalam restoran). Akan tetapi di situ dikatakan SOP will come later (ditentukan kemudian).

“Ini antara perkara yang menyebabkan rakyat keliru. Oleh sebab itu hal-hal SOP bukan lagi Standard Operating Procedure tetapi saat ini sudah dipanggil ‘Semua Orang Pening’.

“Penguatkuasa pun pening, rakyat pun pening, tauke pun pening, semua pun pening?,” katanya.

Beliau berkata demikian pada hari pertama Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di Kuala Lumpur kelmarin.

Menurut Madius, rakyat di luar bandar khususnya belia-belia, para pelajar juga tertunggu dengan pelaksana RM150 juta peranti yang telah pun diluluskan di Parlimen.

“Selain daripada itu, berilah apa juga peranti kepada orang-orang di luar bandar apa juga bentuk komputer, apa juga untuk PdPR dan sebaginya.

“Akan tetapi jika sekiranya masalah connectivity (liputan internet) tidak diselesaikan, tidak diatasi, perkara ini tidak akan selesai.

“Apabila dinyatakan Pelan Pemulihan Negara, adakah perkara connectivity ini telah diambil kira?  Saya difahamkan apabila pelaksanaan 5G dahulu, sepanjang tahun 2020 sepatutnya sudah pun selesai.

“Selepas itu kerajaan baru, syarikat pemaju pun diganti daripada Huawei kepada Sony Ericson dan sebaginya. Dalam Pelan Pemulihan Negara ini kita ingin tanya, bagaimanakah hal-hal connectivity dapat di atasi?,” soal Madius.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) walau bagaimanapun bersetuju dengan langkah yang telah dicadangkan iaitu melibatkan pihak pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara ini.

“Cumanya hari ini yang dilantik cuma tiga wakil daripada pembangkang. Pakatan Harapan (PH) ini ada banyak Ahli Parlimen? Kenapa seorang sahaja wakil? Saya mencadangkan supaya tambah lagilah kepada tiga.

“Selain itu, cadangan daripada 55 Ahli Parlimen supaya Parliamentary Special Select Committee itu tambahkan kepada 13 seperti mana yang dicadangkan.

“Dengan cara ini dapatlah kita bersama-sama untuk menangani hal-hal pemulihan negara ini supaya kita sama ada di pihak pembangkang atau sama-sama memberi pandangan, cadangan sama ada daripada segi dasar dan sebagainya untuk memastikan supaya kita sama-sama dapat pulihkan negara ini,” katanya.