TYDP,
Pada 16 September yang lalu, kita telah menyambut ulang tahun Malaysia yang ke-58. Selepas 58 tahun, kekecewaan dan ketegangan kian tahun, kian bertambah di kalangan rakyat Sabah tentang isu-isu berkaitan dengan Malaysia Agreement 1963 atau MA63.
TYDP,
MA63 adalah satu persetujuan di antara Kerajaan United Kingdom, Persekutuan Tanah Malaya, Sabah (North Borneo), Sarawak dan Singapura. Persetujuan tersebut telah ditandatangani selepas mengambilkira laporan “Cobbold Commission” dan selepas proses tawar-menawar dan rundingan yang begitu lama dalam satu Jawatankuasa Antara Kerajaan yang dipanggil “The Inter-Government Committee (IGC)”. IGC ini diketuai oleh Lord Lansdowne dengan Timbalan Perdana Menteri masa itu, Tun Abdul Razak sebagai timbalan pengerusinya.
Dalam jawatankuasa tersebut, Perwakilan daripada Sabah dan Sarawak begitu jelas dengan menyatakan bahawa pengiktirafan dan jaminan perlindungan kedudukan istimewa (“special position”) kedua-dua wilayah tersebut adalah pra-syarat mereka masing-masing dalam persetujuan pembentukan Malaysia. Untuk Sabah kedudukan istimewa ini telah disenaraikan dalam 20 Perkara (20 Points) dan untuk Sarawak dalam 18 Perkara (18 Points).
TYDP,
Apabila Sabah, Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Malaya membentuk sebuah negara baru dipanggil Malaysia, Perlembagaan Persekutuan Tanah Malaya telah dipindakan untuk mengambilkira sebuah negara yang lebih besar dan lebih kepelbagaian dari segi bangsa, agama, kebudayaan dan kepercayaan. Ia juga mengambilkira beberapa jaminan yang jelas dan tepat dari segi autonomi dan keistimewaan setiap empat wilayah tersebut, seperti yang dipersetujukan dalam IGC dan MA63.
TYDP
Walaupun IGC Report 1963 dan MA63 tidak dimasukkan secara keseluruhannya dalam Malaysia Act 1963 dan Perlembagaan Persekutuan, kekudusan (sanctity) nya dan status kuasi Perlembagaan (quasi-constitutional) nya telah diperkukuhkan melalui beberapa kes makhamah seperti:
1. Pihak Berkuasa Negeri Sabah v Sugumar Balakrishnan (2002);
2. Datuk Hj. Muhammad Tufail Mahmud v Dato’ Ting Cheuk Sii (2009);
3. Robert Linggi v Government of Malaysia (2011);
4. Fung Fon Chen @ Bernard v Government of Malaysia (2012).
Tambahan pula di seluruh dunia, dokumen-dokumen yang bersejarah (historical), pra-Perlembagaan (pre-Constitutional) dan asas (foundational) kerap kali digunakan untuk mentafsir Perlembagaan dan undang-undang domestik berkenaan.
Walau demikian, masih terdapat kontroversi mengenai dengan status perundangan (legal status) IGC Report sebagai dokumen bersejarah dan MA63 sebagai persetujuan antarabangsa. Persoalan yang perlu dijawap oleh Kerajaan dan Menteri Undang Undang dan Parlimen ialah adakah dokumen-dokumen tersebut boleh dianggapkan sebagai mempunyai kuasa undang-undang dan secara sah dapat dikuatkuasakan di bawah Perkara 160(2), Perlembagaan Malaysia?
TYDP,
Sebagai perjanjian antarabangsa, MA63 memberi jaminan-jaminan berasaskan undang-undang antarabangsa kepada Sabah dan Sarawak.
Jaminan-jaminan ini dipersetujui bukan sahaja kerana Sabah dan Sarawak mempunyai ciri-ciri yang berbeza dengan Persekutuan Tanah Malaya dari segi kebudayaan, kepercayaan dan agama, malah kerana pada masa MA63 ditandatangani, Sabah dan Sarawak mempunyai cabaran yang begitu ketara dengan kemiskinan, keperluan pembangunan asas dan infrastruktur, keperluan air terawat, jalan raya, fasiliti-fasiliti sosial dan kesihatan dan tahap komunikasi yang rendah berbanding dengan Persekutuan Tanah Malaya.
Sesetengah jaminan-jaminan ini terkandung dalam Senarai IIA dan Senarai IIIA, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Malaysia.
Tambahan pula, walaupun kuasa untuk membuat pindaan kepada Perlembagaan adalah dipegang oleh Parlimen, di bawah Perkara 161E(2) persetujuan Tuan Yang di-Pertua Sabah dan Tuan Yang di-Pertua Sarawak diperlukan jika apa-apa pindaan tersebut berkait dengan kedudukan istemewa kedua-dua negeri tersebut seperti kewarganegaraan, keanggotaan dan kuasa Makhamah Tinggi Sabah dan Sarawak, agama, bahasa, hak-hak anak negeri dan kuota Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
TYDP,
Malangnya beberapa pindaan kepada Perlembagaan Malaysia telah mengurangkan atau menawarkan kedudukan istimewa (special position) Sabah dan Sarawak.
Sebagai contoh Akta Pindaan A354 (1976) yang telah membuat pindaan kepada Perkara 1(2). Sebelum pindaan itu, Perkara tersebut menyatakan Persekutuan Malaysia terdiri daripada:
(a) 11 negeri di Malaya;
(b) 2 negeri dari Borneo, Sabah dan Sarawak;
(c) Singapura.
Sabah dan Sarawak disebut secara spesifik dalam sub-perenggan (b) sebagai pengiktirafan status kedudukan Istimewanya. Selepas pindaan, Sabah dan Sarawak termasuk dalam senarai 13 negeri di Malaysia. Kepada rakyat di Sabah dan Sarawak, ini adalah satu penurunan status yang mengecewakan.
Persoalannya adakah pindaan ini mendapat persetujuan daripada Sabah dan Sarawak mengikut Perlembagaan Malaysia.
TYDP,
Satu contoh lagi adalah Perkara 121(1) yang telah dipinda dan Perkara 121(1A) telah dimasukkan dalam Perlembagaan untuk mengurangkan kuasa Makhamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.
Adakah pindaan tersebut mendapat persetujuan daripada Tuan Yang di-Pertua Sabah dan Tuan Yang di-Pertua Sarawak mengikut Perkara 161E(2)?
TYDP,
Kedudukan istimewa Sabah dan Sarawak juga telah dikurangkan melalui pentafsiran diskriminatif Perlembagaan Malaysia.
Sebagai contoh, isu kontroversial yang berkait dengan Akta Wilayah Laut 2012 (Territorial Sea Act 2012) yang mengurangkan sempadan laut Sabah dan Sarawak ke hanya 3 batu nautika dari pantai.
Implikasi pengurangan sempadan laut ini sangat drastik dan sangat negatif kepada Sabah dan Sarawak. la menyebabkan hak-hak Sabah dan Sarawak untuk menangkap ikan, marin dan sumber mineral, tapak-tapak pelancongan dalam kawasan marin dan sebagainya kini hanya dalam lingkungan tiga (3) batu nautika (5.56km) dari pantai.
Perkara 2(b) Perlembagaan Malaysia menyatakan Parlimen boleh, melalui undang-undang, mengubah sempadan mana-mana negeri, tetapi undang-undang tersebut tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Negeri itu dan Majlis Raja-Raja.
Persoalannya adalah memandangkan Akta ini melibatkan pengubahan sempadan, adakah Perkara 2(b), Perlembagaan Malaysia dipatuhi sebelum ianya mendapat kelulusan di Parlimen?
TYDP,
Mengubah sempadan Sabah memerlukan suara majoriti pada persidangan DUNnya. Setahu saya, tiada persidangan DUN Sabah yang meluluskan perubahan sempadan air Sabah berkait dengan Akta Wilayah 2012. Jika ini benar, bukankah ini bermakna Akta 2012 ini “null and void” kerana melanggar Perlembagaan Malaysia?
TYDP,
Kedudukan istimewa Sabah juga dikurangkan kerana obligasi-obligasi Kerajaaan Persekutuan tidak ditunaikan di bawah Perlembagaan Malaysia.
Sebagai contoh utama.
Mengikut Perkara 11, di bawah 20 Perkara Sabah, Perenggan 24(8) IGC Report, MA63 dan Perkara 112C(1) serta Bahagian IV Perenggan 2(1) Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Malaysia, Sabah berhak untuk menerima 40% hasil bersih daripada hasil pendapatan yang diperolehi oleh Persekutuan daripada negeri ini.
Mengikut Perlembagaan jumlah 40% itu adalah pendapatan tetap Sabah. la berbeza dengan dana pembangunan yang disumbangkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sabah dalam setiap pembentangan bajet persekutuan.
Pendapatan Persekutuan dari Sabah ini termasuk cukai pendapatan peribadi dan korporat, GST atau SST, duti kastam, pendapatan minyak yang diambil oleh Petronas, kutipan oleh semua jabatan dan agensi Persekutuan seperti JPJ, Imigresen, JPN, saman lalu lintas, denda mahkamah dan lain-lain.
Pendapatan ini juga termasuk pendapatan yang dikumpulkan dari syarikat minyak antarabangsa dan perladangan dan syarikat lain yang menjana wang dari operasi di Sabah tetapi membayar cukai mereka di Semenanjung Malaysia atau Sarawak.
TYDP,
Sabah hanya dapat bayangkan jumlah keseluruhan 40% yang seharusnya diberi kepada Sabah setiap tahun sejak tahun 1963 lagi.
Bilakah komitmen ini akan dilaksanakan? Bagaimana pula dengan tunggakan yang belum dibayar lagi?
TYDP,
Satu lagi contoh yang penting.
Dalam memastikan Sabah dan Sarawak dapat mengawal kemasukan orang daripada negeri-negeri lain di Malaysia, Sabah dan Sarawak diberi kuasa imigresen di bawah Perkara 9(2), Perkara 161B, Perkara 161E Perlembagaan Malaysia dan Bahagian VII Akta Imigresen.
Walau demikian, hak dalam Perlembagaan ini tidak melindungi Sabah dengan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) daripada negara-negara jiran yang sudah mencecah 1 juta orang di negeri itu. Ini telah menjejaskan fabrik sosial, ekonomi, kesihatan dan keselamatan di Sabah.
Bidang kuasa untuk memerangi masalah PATI ini dan mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negara terletak di tangan Kerajaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Senarai 1, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Malaysia.
Apakah rancangan dan tindakan Kerajaan Persekutuan kini untuk mendapat penyelesaian tuntas kepada masalah yang sudah menghantui Sabah lebih daripada 4 dekad ini?
TYDP,
Di bawah Perkara 153 Perlembagaan Malaysia, rakyat anak negeri di Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan istimewa yang sama dengan kaum Melayu di Semenanjung Malaysia.
Walau demikian, realitinya adalah Perkara 153 tidak dikuatkuasakan untuk anak negeri di Sabah dan Sarawak seperti “affirmative action” yang dilaksanakan untuk kaum Melayu di Semenanjung.
Kebanyakan kaum anak-anak negeri di Sabah dan Sarawak masih lagi dalam belenggu kemiskinan dan menghadapi masalah sosio-ekonomi.
Apakah rancangan “affirmative action” Kerajaan untuk membantu mereka ini?
TYDP,
Satu lagi isu adalah kontroversi setiap tahun mengenai umur Negara Malaysia. Rakyat Sabah dan Sarawak tersinggung apabila ada pihak-pihak yang menyatakan umur Malaysia tahun ini adalah 64 tahun samada melalui kenyataan awam, media massa, media alternatif dan medium yang lain.
Semua kita di Dewan yang mulia ini tahu bahawa Malaysia dibentuk oleh 4 wilayah-wilayah iaitu Persekutuan Tanah Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963. Jelas sekali, tahun ini Malaysia berumur 58 tahun.
Apakah usaha Kerajaan Persekutuan kini untuk memastikan supaya fakta sejarah yang amat
penting ini diketahui oleh semua rakyat majmuk Malaysia dengan jelas, lebih-lebih lagi di kalangan generasi muda negara kita?
Saya juga ingin bertanya kepada Kerajaan, sejak Hari Malaysia dijadikan cuti umum negara pada 2010 dan sejak perayaan nasional Hari Malaysia dimulakan pada 2011, kenapakah perayaan nasional Hari Malaysia ini selepas itu hanya diadakah secara bergilir-gilir di antara Sabah dan Sarawak sahaja?
Kenapa tidak secara bergilir-gilir di antara semua negeri-negeri di negara kita ini? Bukankah ini akan membantu untuk mendidik rakyat mengenai fakta sejarah hari yang terpenting bagi kita sebagai warga Malaysia?
TYDP,
Menteri Undang-Undang dan Parlimen adalah anak watan Sarawak, dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Sabah dan Sarawak adalah anak watan Sabah. Saya yakin dan percaya kedua-dua mereka sedia maklum dan faham dengan keluhan-keluhan rakyat jelata di Sabah dan Sarawak.
Sebagai anak watan pulau besar Borneo juga, saya memegang harapan yang besar bahawa mereka berdua ini dengan sokongan daripada YAB PM dan jemaah menteri akan dapat menyelesaikan isu-isu yang penting dan begitu sensitif kepada rakyat pelbagai kaum di Sabah dan Sarawak.
Pada tahun 1963, Sabah mempunyai cabaran-cabaran dari segi kemiskinan, kemudahan asas dan infrastruktur, bekalan air dan elektrik, pendidikan, perkhidmatan kesihatan dan sosial, dan keselamatan.
Pada masa itu harapan pemimpin-pemimpin Sabah dalam bersetuju untuk membentuk Malaysia adalah kesemua cabaran-cabaran tersebut dapat diatasi dalam satu negara yang baru.
Walau demikian, 58 tahun kemudian Sabah adalah negeri yang termiskin di Malaysia, masih mempunyai masalah bekalan air dan elektrik, kekurangan liputan internet dan masih memerlukan banyak pembangunan asas dan infrastruktur.
Sabah adalah pengeluar sumber seperti minyak, gas semula jadi, dan balak yang besar di Malaysia. la kaya dengan produk-produk pelancongan, komoditi dan pertanian. Kedudukan geografinya yang begitu strategik dan berpotensi untuk pertumbuhan perdagangan dengan negara seperti negara-negara China, Jepun, Korea dan dengan negara-negara dalam rantau BIMP-EAGA.
Memang tidak masuk akal mengapa pembangunan Sabah begitu terbantut berbanding dengan negeri-negeri lain di negara ini.
TYDP,
Sabah dan saya yakin, Sarawak juga, cuma mahu menuntut komitmen-komitmen dan jaminan-jaminan yang dipersetujui semasa pembentukan Negara tersayang kita, Malaysia. Sabah sedar atas obligasinya untuk menyumbang kepada negara tapi jika sumber-sumber kekayaannya tidak membawa hasil yang adil dan saksama kepada pembangunannya, progresnya, kemakmurannya, keselamatannya dan kesejahteraan rakyat jelatanya, seruan dan matlamat “Keluarga Malaysia – Makmur Inklusif, Mampan” YAB PM tidak akan membawa apa-apa makna kepada Sabah dan rakyatnya.
Terima kasih.

More Stories
Madius minta MITI perjelas langkah kerajaan tingkatkan KDNK Sabah dalam industri pembuatan
Kerajaan Perkukuh Kesalinghubungan Digital POIC Lahad Datu Melalui Pelan JENDELA
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius