KOTA KINABALU: Empat rumah di Kampung Warisan, Jalan Tuaran Bypass, Inanam, di sini, musnah dalam kebakaran petang tadi, mengakibatkan lebih 20 penghuni tinggal sehelai sepinggang.
Kejadian bermula jam 6.15 petang itu dipercayai dari kebakaran sampah sebelum merebak sehingga memusnahkan empat rumah berdekatan.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.
Seorang mangsa Karim Abd Rahman, 28, berkata ketika kejadian dia bersama adiknya dan sepupunya berada di dalam rumahnya.
“Masa itu, saya sedang mencuci pakaian di bilik mandi dan terkejut apabila adik memaklumkan rumah terbakar.
“Tanpa sempat menyelamat apa-apa harta benda termasuk dokumen, saya bersama adik dan sepupu bergegas keluar memadam api namun gagal kerana api semakin marak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam tadi.

Karim mendakwa, kejadian itu dipercayai dari pembakaran sampai di bahagian hadapan rumah jirannya.
“Jiran sebelah membakar sampah di bahagian hadapan rumahnya sebelum api merebak ke stor di hadapan rumah kami.
“Api marak hingga membakar rumah kami dan beberapa rumah jiran lain. Tiada apa yang tinggal, semuanya (harta benda) musnah terbakar,” katanya.
Menurutnya, buat masa ini, dia bersama keluarganya menumpang berteduh di rumah saudara.
“Kami sekeluarga redha dengan kejadian ini serta menganggap ia adalah takdir dan ketentuan Ilahi,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 6.22 petang.

Katanya, seramai 36 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran bersama lima jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran membabitkan empat rumah yang musnah sepenuhnya. Operasi pemadaman kebakaran terkawal pada jam 9.08 malam dan kerja-kerja ‘overhaul’ masih dijalankan.
“Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan punca kejadian masih dalam siasatan,”

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad