TENOM: Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi (SJHTP) milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), di sini, dijangka beroperasi semula secara berperingkat mulai pertengahan bulan depan selepas sasaran awal pada Mac lalu dan bulan ini gagal dicapai.
Pengurus Besar Penjanaan SESB, Ir Addie Ahmad, berkata ia disebabkan kerja-kerja pembersihan dan pemulihan yang mencabar selepas stesen itu mengalami kerosakan besar akibat banjir lumpur pada Oktober 2022.
Katanya, pekerja SESB dan beberapa kontraktor yang dilantik berdepan cabaran besar termasuk berulang alik sejauh lapan kilometer bagi membersihkan lumpur, sisa kayu dan batuan yang memenuhi terowong Stesen SJHTP.
“Kerja-kerja pembersihan terowong air hidro giat dilakukan oleh satu kontraktor yang dilantik. Kerja-kerja pembersihan bukan mudah kerana melibatkan pembersihan lumpur, batu-batu besar dan longgokan kayu yang hanyut ketika kejadian banjir lumpur dulu.
“Satu lagi kontraktor lain dilantik untuk membaik pulih ketiga-tiga turbin hidro,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan perkembangan semasa kerja pembaikan SJHTP.
Katanya, sehingga kini pembaikan SJHTP giat dilaksanakan dengan tarikh sasaran penyiapan pada asalnya adalah pada Mac lalu untuk turbin pertama, diikuti pada bulan ini untuk turbin kedua dan September depan untuk turbin ketiga.
Jelasnya, mengikut perhitungan asal, stesen itu dijadualkan beroperasi semula secara berperingkat bermula Mac lalu, namun rintangan demi rintangan dan pelbagai cabaran dihadapi SESB ketika melaksanakan kerja pemulihan semula stesen hidro itu menyebabkan sasaran itu sukar ditepati.
“Jadi, sasaran baharu yang diletakkan untuk menjana unit hidro yang pertama adalah pada pertengahan Julai depan. Pembersihan terowong dijangka siap pada hujung Jun ini dan diikuti dengan ‘wet commissioning’ dengan menyalurkan air sungai masuk ke dalam terowong dan memula putar turbin.
“Kini SESB dalam proses untuk melaksanakan kerja perlindungan cerun kekal di kawasan kritikal sepanjang jalan masuk ke stesen. Usaha ini adalah untuk memastikan kejadian runtuhan tanah dapat dihalang pada masa akan datang,” katanya.

Addie berkata, lima pasukan sedang bertungkus-lumus menempuh jarak lapan kilometer keseluruhan untuk pergi dan balik berulang kali di dalam terowong bagi membersihkan lumpur dan kayu yang masih terdapat di bahagian ‘power house’ dan ‘surge tank’.
“Pihak SESB bersama kontraktor juga telah menggunakan kaedah yang tidak melibatkan sebarang aktiviti peletupan untuk penghancuran batu-batu besar bagi memudahkan proses pengalihannya,” katanya.

SJHTP dikendalikan sepenuhnya oleh SESB dengan bersumberkan aliran air Sungai Padas yang mana kederasan arus sungai itu dimanfaatkan untuk memutar turbin bagi menjana tenaga elektrik.
Stesen itu memiliki tiga turbin dengan keupayaan 22 MegaWatt (MW) setiap turbin, menjadikan jumlah keseluruhan tenaga yang dijana sebanyak 66 MW disalur ke Sistem Grid Sabah.
Kerosakan besar berlaku di stesen itu pada 31 Oktober 2022 membabitkan struktur sivil dan loji penjanaan akibat tanah runtuh dan banjir lumpur, menyebabkan ketiga-tiga turbin rosak dan tidak berfungsi.
Berikutan bencana alam itu, SESB kehilangan kapasiti penjanaan tenaga sebanyak 66 MW daripada SJHTP, manakala kos pembaikan setakat ini mencecah RM60 juta dengan jangkaan beroperasi semula sepenuhnya pada hujung November depan. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad