KOTA KINABALU: Bagaikan lipas kudung, sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menyedari kehadiran sepasukan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah bertempiran melarikan diri ke hutan berhampiran tempat kerja mereka di Inanam dan Papar, hari ini.
Malah, ada segelintir daripada PATI terbabit dilihat sanggup membahayakan diri dengan memanjat pagar zink yang memisahkan kawasan kilang dan hutan bagi mengelak daripada dicekup.
Bagaimanapun cubaan meloloskan diri itu gagal selepas mereka dicekup oleh pasukan operasi yang berjaya mengawal sepenuhnya menerusi operasi ‘Ops Mahir’ yang bermula kira-kira jam 10 pagi tadi.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, serbuan dilakukan di dua kilang perabot di Inanam dan kilang Bata, di Papar.
Katanya, operasi berkenaan membabitkan 70 pegawai pelbagai pangkat yang memeriksa seramai 353 individu di dua kilang berkenaan.
“Daripada jumlah yang diperiksa, seramai 39 individu berusia lingkungan 20 sehingga 45 tahun ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan Imigresen.
“Antara kesalahan iaitu tiada dokumen perjalanan yang sah dan penyalahgunaan pas lawatan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, hari ini.
Beliau berkata, semua yang ditahan kebanyakannya adalah warganegara Filipina dan Indonesia.
“Semua PATI yang ditahan dibawa ke pejabat JIM Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Januari sehingga hari ini, seramai 5,926 PATI telah dihantar pulang ke negara asal mereka masing-masing dengan membabitkan 74 kali penghantaran pulang.
“Penghantaran pulang semua PATI terbabit melalui udara sebanyak 140 manakala pengusiran melalui laut sebanyak 5,786,” katanya. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad