KOTA KINABALU: Perikatan Nasional (PN) Sabah menyifatkan pemberian khas interim sebanyak RM600 juta kepada Sabah mulai tahun depan sebagai gula-gula politik.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata ia kerana jumlah pemberian khas itu tidak ditentukan mengikut kutipan cukai dibuat kerajaan persekutuan di negeri ini.
Katanya, pemberian khas untuk Sabah mesti berdasarkan nilai kutipan cukai dan atas sebab itu, kerajaan persekutuan perlu menjelaskan nilai sebenar cukai yang dikutip dari negeri ini.
“Dalam hal ini, Kerajaan Persekutuan perlu menjelaskan nilai sebenar cukai yang diterima dari Sabah bagi membolehkan pengiraan pemberian 40 peratus yang lebih telus dan tepat.
“Ini kerana pemberian khas interim sebanyak RM600 juta mestilah berdasarkan nilai kutipan cukai yang telah dikenal pasti yang mana terdapat pendapat bahawa kutipan cukai Sabah kini sudah mencapai suatu nilai yang lebih besar daripada jangkaan sebenar.
“Oleh itu, tanpa mengetahui nilai sebenar kutipan cukai, maka pemberian khas interim RM600 juta ini boleh disifatkan hanyalah sebagai gula-gula politik daripada Kerajaan Persekutuan kepada rakyat Sabah.
“Manis tetapi rasanya sekadar di hujung lidah, sedangkan kemanisan sebenar adalah pemberian yang tetap dan lebih besar,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Malaysia, hari ini.
Pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak daripada RM300 juta kepada RM600 juta mulai tahun depan.
Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran, berkata tindakan Kerajaan Persekutuan menaikkan nilai pemberian interim khas daripada RM300 juta pada 2024 kepada RM600 juta pada 2025 tidak menyelesaikan perkara utama iaitu mengembalikan semula peruntukan wajib 40 peratus kepada Sabah di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah perlu mengakui bahawa bayaran interim itu tidak mencerminkan kedudukan pemberian tetap 40 peratus kepada Sabah.
“Selaras dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan dan sempena Hari Malaysia, bayaran interim khas perlu ditukar kepada bayaran tetap 40 peratus di bawah perlembagaan.
“Kerajaan Persekutuan kini sudah tidak boleh memberi alasan dan berdalih lagi daripada menghormati Perlembagaan Persekutuan dan melaksanakan peruntukan yang termaktub kepada rakyat Sabah.
“Bagi rakyat Sabah pemberian interim ini bukan penyelesaian malahan ia lebih bersifat tidak menghormati kedudukan Sabah sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan.
“Seharusnya keberadaan Sabah dalam Malaysia dihormati dan dilayan sebagai rakan kongsi yang setara dalam semua aspek termasuk dalam soal perolehan pembangunan,” katanya. – Info X

More Stories
Kids Art & Craft Camp UMS Lonjak Potensi Kreatif Generasi Muda
Matriculation English Immersion Programme (MEIP) Perkukuh Penguasaan Bahasa Inggeris Pelajar Kolej Matrikulasi Labuan
UMS Pacu Aspirasi Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya Melalui Ekosistem Inovasi Berimpak