KOTA KINABALU: Kematian akibat Covid-19 di Malaysia bertambah satu kes lagi menjadikan jumlah ketika ini 11 orang.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes terbaharu merupakan seorang warganegara Malaysia berusia 70 tahun dengan latar belakang penyakit kronik.
“Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat satu lagi pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 yang telah dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.
“Pelaporan terbaharu ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak 11 orang setakat ini.
“Kes kematian kesebelas ini (kes ke-1070) merupakan seorang warganegara Malaysia berusia 70 tahun dengan latarbelakang penyakit kronik.
“Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia pada bulan Februari 2020 dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) juga dimaklumkan bahawa beliau merupakan Pengerusi surau kawasan setempat beliau,” katanya menerusi hantaran di Facebook, sebentar tadi.
Noor Hisham berkata, mangsa telah mula menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM pada 18 Mac lalu.
Beliau kemudian disahkan positif Covid-19 pada 19 Mac lalu dan diberi bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Kesihatannya merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 22 Mac 2020 jam 9.05 malam.
“KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pesakit,” katanya./BERITA SABAH

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad