KOTA KINABALU: Orang ramai diminta berhenti menyebarkan laporan kononnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia mengambil alih tugas menangani wabak COVID-19 di negara ini.
Panglima Angkatan Tentara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, dalam satu kenyataan, malam ini, berkata laporan berkenaan adalah tidak benar dan palsu.
“Hebahan maklumat tidak tepat dan penularan video yang menampakkan atur gerak aset ATM di jalan raya tertentu. Ini sekaligus diangkat sebagai berita bahawa ATM atau tentera bersiap sedia untuk mengambil alih situasi terkini negara adalah berita palsu.
“Justeru, semua pihak terutama mereka yang tidak bertanggungjawab, dinasihatkan untuk berhenti menyebarkannya serta-merta,” katanya.
Affendi turut menjelaskan, gambar serta video yang tersebar itu sebenarnya adalah gerakan aset Tentera Darat yang menjalani latihan ketenteraan dan diperintahkan kembali semula ke kem masing-masing atas ketetapan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Isnin lalu.
Katanya, kepemimpinan tertinggi ATM memutuskan untuk beberapa perkara berkaitan operasi, latihan dan kursus, eksesais, pentadbiran dan logistik diperhalusi berdasarkan Perintah Kawalan Pergerakan berkenaan.
“Perkara membabitkan latihan kenteraan ditangguh buat sementara waktu. Bagaimanapun, perkara membabitkan operasi dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara tetap akan dilaksanakan seperti biasa.
“Jadi, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang dengan sebarang berita yang boleh mencetuskan kebimbangan dan panik dalam kalangan masyarakat,” katanya./BERITA SABAH

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad