DAKWAAN 40 KES H1N1 DI KK TIDAK BENAR

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menafikan dakwaan kononnya ada 40 kes Influenza A (H1N1) berlaku di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, pihak JKNS telah melakukan siasatan terhadap mesej yang tular di media sosial itu dan mengesahkan ianya tidak benar.

Bagaimanapun, Frankie berkata JKNS mengesahkan seorang individu positif Ifluenza A H1N1 dan telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu pada 5 Januari lalu.

Katanya, kes berkenaan membabitkan seorang wanita berusia 33 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur.

“Beliau menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur pada 2 Januari jam 10.30 pagi bersama rakan untuk tujuan kerja namun beliau telah diberi rawatan dan dalam keadaan stabil.

“Tiada jangkitan radang paru-paru dilaporkan dan tiada simptom jangkitan demam, batuk atau selesema,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Frankie berkata, JKNS menegaskan bahawa Ifluenza A H1N1 kini merupakan sebahagian dari virus influenza bermusim biasa, tidak sebagaimana pada 2009 lalu ketika berlaku kejadian Pandemik H1N1.

“Ini disebabkan oleh cara jangkitan, tanda-tanda dan risiko untuk mendapat jangkitan serta komplikasi akibat jangkitan influenza A H1N1 adalah serupa sebagaimana jangkitan influenza bermusim yang lain.

“Kerapkali ia hanya menyebabkan gejala jangkitan yang ringan pada kebanyakan orang yang mempunyai tahap imuniti badan yang baik,” katanya.

Frankie berkata, Influenza merupakan jangkitan sistem pernafasan oleh virus influenza bermusim dengan gejala utama seperti demam selsema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti kurang selera makan, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.

Katanya, demam selsema sangat mudah berjangkit kepada orang lain melalui udara dengan titisan cecair
daripada mulut dan hidung semasa bercakap, batuk atau bersin.

“Pada kebiasaannya, penyakit Influenza menyebabkan demam selsema yang ringan tetapi boleh menyebabkan jangkitan yang teruk kepada kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mengidap penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, lelah dan lain-lain.

“Penyakit ini boleh dicegah dengan pengambilan vaksin influenza (Annual flu shot) secara tahunan bagi bayi berumur 6 bulan dan ke atas sehingga dewasa”, katanya.

Tambah beliau, pengambilan vaksin influenza adalah tidak diwajibkan, tetapi ia dapat membantu mengurangkan komplikasi Influenza yang teruk seperti jangkitan paru-paru, jangkitan saluran pernafasan, penyakit asma, jangkitan pada telinga, jangkitan pada jantung atau radang otak.

Oleh itu, katanya, orang awam secara amnya dan golongan berisiko tinggi secara khususnya amat digalakkan untuk mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang ditawarkan oleh fasiliti kesihatan swasta di seluruh negeri.

“Bagi mencegah penularan jangkitan influenza juga, orang ramai diminta sentiasa mengamalkan langkah-langkah yang mudah iaitu mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.

“Amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun atau menggunakan ‘hand sanitizer’ serta mengamalkan adab batuk yang baik dan cara hidup sihat,” katanya lagi.