SPRM sita 8 kenderaan mewah milik sindiket seludup rokok, arak

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita lapan kenderaan mewah dianggarkan bernilai hampir RM6 juta milik individu dipercayai terbabit sindiket penyeludupan tembakau, arak dan rokok.

Menurut sumber SPRM, model kenderaan yang disita adalah masing-masing dua unit Lamborghini serta Toyota manakala setiap seunit Lexus, Mercedes, BMW, dan Volvo dalam operasi khas sekitar Lembah Klang.

Operasi sejak Isnin itu dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kenderaan-kenderaan ini disita daripada beberapa individu berjawatan pemilik syarikat serta orang tengah yang membuat bayaran wang sogokan kepada pegawai-pegawai di sebuah agensi penguat kuasa,” menurut sumber itu.

Selain itu, sindiket terbabit juga dikesan terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan mencuci duit menggunakan akaun perniagaan “syarikat hantu”, melalui pengurup wang dan syarikat pinjaman wang berlesen.

“Kegiatan penyeludupan sindiket ini dipercayai telah menyebabkan ketirisan hasil cukai yang dianggarkan lebih RM400 juta dan telah memberi wang rasuah lebih RM8 juta kepada beberapa individu termasuk penjawat awam bagi melancarkan kegiatan penyeludupan.

“Sindiket ini dipercayai menggunakan modus operandi dengan menggunakan akaun keldai bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada penjawat awam yang bersekongkol dengan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah AML SPRM Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan sitaan terhadap lapan kenderaan mewah berkenaan dan individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.