PETALING JAYA: Seorang timbalan ketua menteri Sabah menolak dakwaan oleh Bung Moktar Radin dari Umno bahawa pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) “hanya pandai cakap” berhubung usaha berterusan menyelesaikan masalah bekalan elektrik dan air di negeri itu.
Jeffrey Kitingan berkata gabungan pemerintah kini sedang meneliti isu gangguan bekalan elektrik yang telah berlarutan di negeri itu walaupun semasa Bung berada dalam kerajaan.
Bung telah digugurkan daripada Jemaah Menteri Hajiji Noor pada Januari 2023 selepas gagal dalam cubaan untuk menggulingkan ketua menteri.
Kitingan berkata isu itu akan diselesaikan menjelang Jun.
“Dan dalam jangka panjang, kerajaan Sabah dijangka menjana lebihan kuasa daripada sumber lain seperti tenaga hidro, solat dan tenaga haba lautan,” katanya kepada FMT.
Begitu juga dengan masalah air yang bukan perkara baharu katanya, dan wujud ketika Bung menjadi timbalan ketua menteri. Satu-satunya perbezaan sekarang ialah Sabah mengalami kemarau akibat fenomena El Nino.
Kitingan berkata kerajaan Sabah telah mengambil langkah jangka pendek untuk menangani masalah itu dengan menyelesaikan kecurian air, mengagihkan air ke kampung dan pembenihan awan.
Kerajaan negeri juga telah mengambil langkah proaktif untuk melindungi sumber airnya dengan mewartakan kawasan tadahan air.
“(Dan langkah-langkah ini membuktikan) apa yang Bung katakan adalah tidak benar sama sekali. Dia hanya berpolitik,” katanya.
Pada malam Selasa, Bung berkata pemimpin GRS “hanya pandai cakap, tiada tindakan”, menuduh mereka berulang kali membuat pengumuman tanpa menyelesaikan sebarang masalah di negeri itu.

More Stories
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad
Isu ‘Pusingan P’ di Jalan Kinarut Dibawa ke Peringkat Nasional
UPKO Tuaran Hormati Keputusan Fairuz Bandar, Ucapkan Selamat Maju Jaya