1,638 kes baharu Covid-19 dan 3 kematian ini hari

Kementerian Kesihatan melaporkan 1,638 kes baharu Covid-19 dan tiga kematian berbanding 1,449 pesakit pulih.

Ini menjadikan 333,892 kes sembuh daripada keseluruhan 349,610 kes Covid-19 dan 1,286 kematian direkodkan setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 14,432 kes aktif dengan 81 daripada 167 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, Perak mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi, iaitu 494 kes.

“Daripada jumlah ini, 486 kes (98.4%) daripada kluster Jalan Pelabuhan. Kluster tempat kerja ini diumumkan 20 Feb lalu,” katanya dalam kenyataan sambil menambah  kes indeks itu dilaporkan positif 13 Feb lalu hasil saringan individu bergejala.

“Kluster ini merujuk lokaliti asrama pekerja di Jalan Pelabuhan Utama, Manjung yang didiami pekerja beberapa kilang.

“Pada 30 Mac lalu, sembilan kes baharu dilaporkan melibatkan pekerja kilang dan kontak rapat mereka,” katanya sambil menambah 1,312 kes positif dilaporkan selepas 1,689 orang disaring setakat ini.

Ia diikuti Selangor (352), Sarawak (290), Pulau Pinang (92), Johor (83), Sabah (73), Kuala Lumpur (67), Kelantan (64), Pahang (35), Negeri Sembilan (25), Kedah (20), Melaka (20), Labuan (12), Putrajaya (tujuh) dan Terengganu (empat).

Perlis ialah satu-satunya negeri yang tidak melaporkan sebarang kes baharu.

Daripada jumlah kes baharu itu, tujuh ialah kes import dan 1,631 lagi kes penularan tempatan, yang terdiri daripada 950 warganegara dan 681 warga asing.

Tiga kematian itu membabitkan warganegara berusia 50 hingga 87 tahun di Kuala Lumpur, Kelantan dan Sarawak, yang semuanya mempunyai latar belakang penyakit sepeti darah tinggi serta dislipidemia.