Jom Jumpa PROTÉGÉ, platform dunia keusahawanan sebenar

KOTA KINABALU: Seminar Keusahawanan Mahasiswa: Jom Jumpa PROTÉGÉ (JJP) Edisi Sabah 2025 menjadi platform penting dalam memberi pendedahan awal kepada mahasiswa mengenai dunia keusahawanan sebenar.

Program anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui PROTÉGÉ itu mendapat kerjasama Pusat Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan (CEDeC), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, bidang keusahawanan terbukti menjadi salah satu pemacu utama pembangunan sosioekonomi negara.

Katanya, perkara itu boleh dilihat melalui pencapaian perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menyumbang sebanyak 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Menurutnya, pencapaian itu melibatkan nilai KDNK RM652.4 bilion, serta menggajikan seramai 8.1 juta tenaga kerja pada 2024. 

Justeru, beliau menyeru agar mahasiswa dan graduan berani memilih bidang keusahawanan sebagai kerjaya masa depan.

“Ia bukan sahaja bagi menjamin kelangsungan hidup sendiri, tetapi juga untuk menjadi pencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat. 

“Saya kongsi kisah kejayaan peserta program keusahawanan PROTÉGÉ, Asrenna Asgar, anak muda dari Kota Belud yang merupakan pemilik  Yun Optometry iaitu peserta Program Latihan Intensif Dalam Talian Usahawan Generasi Baharu (N-GENE) di bawah PROTÉGÉ, KUSKOP. 

“Kisah kejayaan ini menjadi bukti nyata keberkesanan program keusahawanan PROTÉGÉ dalam melahirkan usahawan muda yang inovatif dan berdaya saing,” katanya ketika berucap merasmikan seminar itu di sini hari ini. 

Menurutnya, program itu dirangka bagi meningkatkan kefahaman peserta terhadap asas keusahawanan, strategi memulakan perniagaan, serta memperkenalkan peluang sebenar dalam ekosistem keusahawanan.

Di samping itu jelasnya, ia turut menampilkan perkongsian daripada usahawan-usahawan berjaya yang berperanan sebagai sumber inspirasi dan pemangkin semangat kepada mahasiswa untuk menceburi bidang keusahawanan. 

Beliau berkata, seminar itu adalah siri terakhir daripada 11 siri seminar yang dilaksanakan di 10 Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara di bawah tema ‘Mahasiswa Pemacu Keusahawanan Belia’ yang berjaya memanfaatkan seramai 3,432 mahasiswa. 

Sehingga September 2025, sebanyak 85,243 mahasiswa dan graduan menyertai pelbagai program keusahawanan PROTÉGÉ di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). 

Selain itu, lebih 41,056 graduan turut mendapat manfaat melalui Program Penempatan Latihan Kerjaya Graduan bersama Industri (PROTÉGÉ-RTW) yang memberi peluang kepada graduan mendapatkan pengalaman kerja sebenar bersama syarikat swasta. 

Sehubungan itu Ewon berkata, KUSKOP kekal komited dan optimis penganjuran program seumpama itu akan terus memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan mahasiswa dan graduan.

Katanya, ia sekali gus menyokong aspirasi Malaysia ke arah menjadi negara keusahawanan unggul.