KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah mengarahkan semua syarikat perladangan membuat saringan COVID-19 terhadap pekerjanya berikutan kewujudan dua kluster baharu hari ini iaitu Kluster Ladang Baturong di Kunak dan Kluster Ladang Matamba di Lahad Datu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata pengusaha ladang juga perlu menyediakan fasiliti kesihatan serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di ladang masing-masing sebagai tanggungjawab sosial dan menjaga kebajikan pekerja.
“Pihak pengurusan ladang perlu memastikan setiap pekerja adalah dalam keadaan sihat, oleh itu mereka perlu menjalani ujian saringan (COVID-19),” katanya pada sidang media di sini.
Masidi yang juga jurucakap negeri bagi COVID-19 berkata hasil saringan terhadap kluster ladang Baturong mendapati daripada 212 yang disaring, 10 orang didapati positif manakala 44 kes lagi daripada saringan kontak rapat.
Bagi kluster Ladang Matamba, 20 kes positif direkodkan dan aktiviti siasatan serta pengesanan kontak masih dijalankan oleh pihak pengurusan ladang.
Beliau berkata peningkatan kes positif baharu di Sabah hari ini iaitu sebanyak 514 kes berpunca daripada aktiviti saringan yang dijalankan di kedua-dua ladang berkenaan, menjadikan jumlah kumulatif 42,802 kes di negeri itu.
Dalam pada itu, kerajaan negeri membenarkan semua kilang tepung untuk beroperasi selama 24 jam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu tidak melebihi 50 peratus pekerja bagi setiap penggiliran.
Sementara itu, Masidi memaklumkan PKRC Institut Kemahiran Mara (IKM), Kota Kinabalu telah ditutup secara rasmi semalam.

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad