GARA-GARA MAKI BAPA, SEORANG MEKANIK DIDENDA RM100 OLEH MAJISTRET

Akibat tidak berpuas hati ditegur bapanya kerana meletakkan tin biskut di atas katil, seorang anak lelaki bertindak mengeluarkan kata-kata kesat terhadap bapanya.

Kejadian yang berlaku di Petaling Jaya itu kemudiannya menyaksikan si anak yang bekerja sebagai mekanik didenda maksimum RM100 oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol mengenakan denda itu terhadap A. Andrew, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah menggunakan perkataan kurang sopan  terhadap A. Arulnathan, 63.

Mahkamah turut memerintahkan Andrew dipenjara dua hari sekiranya dia gagal membayar denda.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Desa Perangsang pada 7 malam, 10 Jan lepas, mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil-kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh, namun Andrew yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan atas alasan baru sahaja bekerja sebagai mekanik dan ketika kejadian dia dalam keadaan mabuk.