Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menjalankan operasi merobohkan 48 rumah setinggan yang didapati dibina tanpa kebenaran tuan tanah, di Bandar Putra, Manggatal, di sini, semalam.
Operasi berkenaan dilakukan selepas pihak DBKK mendapat perintah mahkamah untuk kebenaran merobohkan semua rumah yang dikenalpasti serta merta.
Operasi berkenaan turut disertai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Pengarah Penguatkuasa DBKK, Abdul Mukti Muchlish berkata, notis mengosongkan semua rumah terbabit sudah dikeluarkan sejak beberapa bulan lalu.
Namun katanya, ada segelintir penduduk yang tidak mengendahkan arahan berkenaan sehinggga memaksa pihak berkuasa mendapatkan arahan mahkamah untuk tindakan itu.
“Kita menyasarkan sebanyak 400 rumah yang dibina tanpa kebenaran akan dirobohkan di kawasan seluas lebih 40 hektar yang juga milik pemaju di kawasan itu.
“Rumah yang diambil tindakan ini membabitkan rumah yang didirikan tanpa kebenaran serta ada juga yang terbabit dalam aktiviti jual beli rumah sendiri,” katanya.
Abdul Mukti berkata, ada antara penghuni di sini yang tertipu dan ada juga sebahagiannya yang tahu tetapi mengambil kesempatan untuk tinggal secara percuma selama beberapa bulan atau tahun.
Sehubungan itu, Abdul Mukti menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan penjualan lot atau rumah di kawasan seperti ini.
Katanya, tindakan pencerobohan tanah milik orang lain ini perlu dihentikan serta-merta kerana ia bukan saja mengakibatkan kerugian tetapi juga boleh diambil tindakan undang-undang. – Asia Times

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad