Menceroboh perairan negara, lima nelayan Vietnam kena tahan. Kejadian di Labuan

 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Labuan berjaya menahan sebuah bot nelayan asing selepas didapati menceroboh masuk ke perairan negara berhampiran Pulau Labuan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.40 pagi itu, bot yang dinaiki lima warga Vietnam itu didapati masuk  tanpa kebenaran dipercayai untuk mengaut hasil laut negara.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Nudin Jusoh berkata, semasa melaksanakan Op Pelantar dijalankan, bot ronda mengesan sebuah bot nelayan di kedudukan sekitar 35 batu nautika barat laut dari Pulau Labuan.

Katanya, hasil pemantauan awal, bot berkenaan didapati sedang leka menjalankan aktiviti perikanan dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan lima kru termasuk tekong berusia 24 hingga 43 tahun.

“Semua individu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan disyaki warga Vietnam,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nudin berkata, bot serta kru itu kemudiannya ditahan dan diiring ke jeti Zon Maritim Labuan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.

Sehubungan itu, Nudin berkata, komuniti maritim diingatkan supaya mematuhi peraturan serta undang-undang yang diwartakan bagi mengelakkan dari berlaku sebarang musibah atau dikenakan sebarang tindakan seperti yang termaktub dalam peruntukan undang-undang.

Katanya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang pencabulan undang-undang Persekutuan. – Asia Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *