4,469 pelajar baru UMS untuk sesi kemasukan 2021/2022

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima seramai 4,469 pelajar baharu bagi sesi pengajian 2021/2022.

Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, daripada jumlah itu, seramai 2,692 pelajar berasal dari Sabah, manakala 1,695 pelajar dari Semenanjung dan Sarawak.

Katanya, UMS turut menerima 10 pelajar orang kelainan upaya (OKU) serta 35 pelajar antarabangsa membabitkan negara China, India, Brunei, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau berkata, UMS kini dalam fasa menguatkuasakan keperluan melengkapkan dua dos Vaksin COVID-19 untuk memasuki kampus dan berurusan dalam premis universiti.

Langkah yang diambil itu jelasnya, bagi memastikan pihak universiti menyediakan persekitaran yang selamat buat seluruh warga UMS.

“Saya ingin mengingatkan para pelajar yang belum mengambil vaksin COVID-19 agar berbuat demikian dengan segera. 

“Sehingga hari ini, kadar vaksinasi kakitangan UMS mencapai 95 peratus dan pelajar UMS melebihi 80 peratus,” katanya ketika berucap pada Majlis Lafaz Ikrar Pelajar Baharu Sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2021/2022 di sini hari ini. 

Dalam pada itu, pihaknya turut menyedari kekangan yang wujud dalam kalangan pelajar sepanjang tempoh Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara atas talian.

Beliau berkata, melalui keprihatinan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan juga UMS, pihaknya ruang kepada pelajar yang berkeperluan khususnya pelajar yang mengalami masalah capaian internet dan persekitaran yang kurang kondusif untuk masuk ke kampus bagi menjalankan PdP dengan menggunakan kemudahan yang disediakan di dalam UMS.

Menurutnya, usaha itu bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir dalam proses pembelajaran yang berlangsung. Selain itu, pihak UMS juga cakna terhadap isu kesihatan mental pelajar.

Sehubungan itu katanya, bagi memastikan isu berkenaan tidak berpanjangan, pelbagai medium disediakan untuk para pelajar mendapatkan perkhidmatan kaunselor termasuklah sesi perkongsian secara atas talian yang dijalankan setiap minggu.

“Pihak universiti sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan pelajar agar aspek kebajikan sentiasa terjaga dan proses PdP berjalan dengan lebih kondusif.

“Kita juga inginkan para pelajar merasakan pengalaman yang menyeronokkan sebagai pelajar universiti meskipun dalam keadaan interaksi kita yang terbatas.

“Perkara ini sesuai dengan Pelan Strategik UMS yang pertama iaitu menyediakan pengalaman pendidikan yang berkualiti kepada pelajar,” katanya. 

Beliau percaya, dengan semangat yang berkobar-kobar, para pelajar akan sentiasa membuka hati dan minda untuk menerima setiap isi pembelajaran walaupun melalui amalan norma baharu yang banyak menggunakan pendekatan secara dalam talian.

Pihaknya berharap para pelajar dapat memberikan sepenuh tumpuan kepada pembelajaran serta sentiasa berusaha menyediakan diri dengan ilmu dan kemahiran yang terbuka luas di UMS.

“Manfaatkan setiap ruang dan peluang yang disediakan untuk menjadi bekalan tambahan kelak. Semoga dengan usaha ini UMS mampu menjana graduan yang lebih berkualiti, sekali gus meningkatkan Kebolehpasaran Graduan (GE) UMS,” jelasnya. – Utusan Borneo