Cubaan seludup rokok digagalkan PPM, kejadian di Lahad Datu

Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu berjaya menggagalkan cubaan menyeludup rokok dan tembakau tanpa cukai di kawasan bangunan Ko-Nelayan, Pasar Awam Lahad Datu, pagi kelmarin.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu Superintendan Gan Ping Sin berkata, serbuan dijalankan terhadap sekumpulan lelaki yang mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Ketika pihak polis menghampiri suspek, kesemua suspek terus melarikan diri dan beredar dari kawasan itu.

“Pemeriksaan dilakukan di kawasan terbabit menjumpai beberapa kotak berisi rokok dan tembakau yang tidak bercukai dianggarkan bernilai RM4,256,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Gan berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Wilayah 4 Sabah di talian 013-9391197. – Sabah360 Online