HAK BERAGAMA TERJAMIN DALAM PERLEMBAGAAN

Ewon melepaskan burung merpati sebagai simbolik perasmian penutupan program itu

KOTA BELUD: 21 April – Kebebasan beragama setiap warga Malaysia adalah terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Beliau menegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan Malaysia menyatakan agama rasmi persekutuan adalah Islam, tetapi agama lain juga bebas diamalkan.

“Justeru, kita sebagai penganut agama Kristian tidak perlu berasa khuatir dengan hak beragama walaupun ada cakap-cakap individu atau sebilangan masyarakat yang mungkin telah mengguris perasaan kita termasuklah baru-baru ini berkaitan dengan sambutan Hari Paskah.

“Kita tidak mungkin dapat menghalang setiap individu daripada mengeluarkan pendapat masing-masing meskipun pendapat itu boleh menjejaskan hubungan antara kaum, tetapi saya ingin menyatakan bahawa pimpinan Kerajaan sentiasa mempertahankan hak paling asasi ini. Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Afdal komited dan telah membuktikan beliau mempertahankan hak beragama setiap masyarakat di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan perkhemahan Pathfinder Fair Kota Belud – Tuaran di Eko-Pelancongan Datau Nakapan Kg Malangkap Baru, Kadamaian, di snini, pada Ahad (hari ini).

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, Duli Yang Mulia Yang Dipertuan Agong sendiri juga telah menyampaikan ucapan Paskah kepada penganut agama Kristian.

“Sementara kita berharap pihak berkuasa berwajib yang berkaitan mengambil tindakan tegas terhadap perosak agama dan perpaduan kaum, kita juga sebenarnya boleh mengabaikan sahaja pandangan serong mereka. Adalah lebih baik kita menjadi model dan duta bagaimana keharmonian kaum boleh diperkasakan meskipun berbeza anutan agama.

“Mari kita pertahankan budaya saling menghormati kebebasan beragama di Sabah yang sudah sekian lama terbina, dengan harapan ianya menjadi model kepada masyarakat lain di seluruh negara,” katanya.

Perkhemahan tersebut dihadiri oleh lebih 700 peserta dari gereja-gereja Seventh Day Adventist (SDA) dari Kota Belud dan Tuaran anjuran Jabatan Belia SDA Mission of Sabah.

Ewon berkata, Kerajaan Sabah sentiasa prihatin dengan keperluan badan-badan keagamaan bukan Islam dan sekolah mubaligh di negeri ini dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM35 juta pada tahun ini.

“Selaku ADUN Kadamaian, saya juga menggunakan sebahagian daripada peruntukan khas ADUN untuk membantu sekolah-sekolah mubaligh dan keperluan rumah-rumah ibadat gereja dan masjid di Kadamaian.

“Misalnya pada tahun lepas, saya telah memberikan peruntukan sebanyak RM50,000 untuk menyelenggara dan membaikpulih bangunan Sekolah Rendah Adventist (SRA) Gaur dan Rangalau, iaitu masing-masing sekolah mendapat peruntukan RM25,000. Manakala, pada tahun ini SRA Kelawat pula saya bantu untuk perkara sama di bawah peruntukan khas ADUN,” katanya.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk meneruskan program bantuan keperluan-keperluan rumah ibadat gereja dan masjid mengikut ketersediaan peruntukan yang boleh disalurkan.

Turut hadir pada majlis itu, Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah Jo-Anna Rampas, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian Saikom Watis, Ketua Daerah Kadamaian Jaintin Molondoi dan Pengerusi Pelaksana Pastor Willborn Gondolos.

Ewon melawat gerai pameran pada majlis itu.