KOTA KINABALU: Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), sebuah agensi fokal bagi ekosistem startup Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), telah menganjurkan Cradle Open Day 2024 di Kota Kinabalu, Sabah.
Acara yang diadakan julung kali ini bertujuan untuk meningkatkan penubahan startup berimpak tinggi di seluruh Malaysia.
Cradle Open Day adalah program bual bicara serta sesi rangkaian yang menjurus kepada sektor teknologi yang dianjurkan bersempena Kinabalu Startup Bootcamp dengan kolaborasi bersama Pusat Kreatif Ekonomi Dan Inovasi Sabah (SCENIC).
Kinabalu Startup Bootcamp ini bertujuan untuk membuka lebih banyak peluang kepada startup dan usahawan di rantau ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke, menekankan peranan penting startup tempatan dalam meningkatkan bidang keusahawanan di seluruh Malaysia.
“Matlamat utama kami adalah untuk meningkatkan bilangan startup yang berimpak tinggi di Malaysia, dalam masa yang sama, mewujudkan sebuah ekosistem bersifat global, berprestasi tinggi, inklusif, dan mampan untuk negara.
“Dengan kerjasama bersama SCENIC, kami akan terus membantu pembangunan ekosistem startup di Sabah serta memberi sokongan kepada usahawan di negeri ini yang mana sudah berjaya, mahupun yang baru ingin bermula,” katanya dalam satu kenyataan media.
Pada bulan November tahun lalu, Cradle turut menganjurkan program di Kota Kinabalu, Sabah, iaitu MYStartup NXT, sebuah program pembinaan kapasiti di bawah inisiatif MYStartup.
Sehingga Februari 2024, portal MYStartup telah merekodkan lebih daripada 3,600 startup di Malaysia serta membantu menghubungkan lebih daripada 1,000 pelabur. Portal ini juga telah menunjukkan peningkatan jumlah startup dari Sabah.
Tambahan lagi, ekosistem startup Malaysia juga telah menarik minat pasaran antarabangsa, yang mana 10% daripada jumlah lawatan portal ini yang melebihi 130,000 ini merupakan demografi global.
Sehingga tahun 2023 juga, 6,170 startup telah mendapat manfaat melalui program pembinaan kapasiti seperti program pemecut (accelerator), prapemecut (pre-accelerator) dan hackathon di bawah Cradle.
Cradle Open Day yang memberi fokus kepada topik Pendanaan dan AgriTech ini menampilkan sesi perbincangan yang menarik bertajuk, “Beyond the Pitch: Cracking the Code of Funding & Talent Acquisition” yang menjemput wakil panel daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Elevate Academy and Cradle.
Ini diikuti dengan sesi perbualan santai bertajuk “Innovations in AgriTech: Transforming Sabah’s Agricultural Landscape” yang disertai oleh wakil daripada SCENIC dan startup di Sabah, Portal AgriData.
Cradle Open Day ini juga memberi peluang kepada startup daripada pelbagai peringkat untuk bertemu dengan wakil daripada Cradle serta meningkatkan rangkaian dengan startup tempatan yang lain dalam usaha untuk meningkatkan kualiti keusahawanan mereka.
Acara Cradle Open Day ini diakhiri dengan majlis penutup yang dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap II KSTI, Syahrin Samsir, bersama-sama dengan majlis penyampaian hadiah bernilai RM2,500 setiap seorang kepada tiga pemenang startup – Rare is Real, Reviewbah, dan AgroDaya, sebagai pengiktirafan kepada inovasi mereka.
Cradle juga akan terus menggalakkan pembangunan startup yang mampan dengan penganjuran siri penglibatan bersama ekosistem, seperti Cradle Open Day ini, selaras dengan matlamat Malaysia untuk menjadi antara 20 ekosistem startup terbaik menjelang 2030.
More Stories
Hutang Isi Rumah Negara Berjumlah RM1.53 Trilion
Harga petrol, diesel kekal
Kimanis Power Sdn Bhd bayar dividen RM16 juta