KOTA KINABALU, 21 April — Inisiatif Kerajaan melonggarkan skim pembiayaan bagi memudahkan pemilikan rumah kepada golongan berpendapatan rendah berkemungkinan memburukkan masalah kewangan golongan tersebut.
Menurut Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah, Suraya Ismail, ianya merupakan satu tindakan yang tidak bijak berikutan pelbagai aspek dan faktor yang perlu diambil kira sebelum meluluskan sesuatu pinjaman daripada pihak bank.
“Pendapatan dan harga rumah bukan satu-satunya penentu kelulusan pinjaman, namun komitmen hutang pembeli juga menjadi faktor utama.
“Setiap bank perlu melakukan penilaian berhubung faktor ini.
“Penolakan permohonan pinjaman mungkin menunjukkan bahawa bakal pembeli ini mempunyai hutang yang berlebihan,” jelasnya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Tambah Suraya, julat harga mampu milik yang ditetapkan kerajaan mungkin tidak memenuhi keupayaan kewangan pembeli yang disasarkan.
Katanya, harga rumah perlu ditetapkan mengikut ambang kemampuan penduduk tempatan kawasan tertentu.
“Apabila rumah secara amnya tidak mampu dimiliki, cara untuk memperbaiki keadaan ini harus berdasarkan kepada menjadikan bekalan perumahan lebih kompetitif,” katanya lagi.
Sementara itu, seorang pemaju hartanah yang berpangkalan di Melaka, Anthony Choo, mengkritik insentif dan kempen perumahan yang ditawarkan kerajaan, seperti kempen pemilikan rumah, dengan berkata ia gagal menangani isu rumah tidak terjual.
Beliau menggesa kerajaan untuk mengkaji semula dasar semasa yang mengawal insentif ini.
“Adakah insentif dan kempen ini benar-benar membantu pembeli rumah, terutamanya golongan B40?” soal Anthony.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mengkaji semula model pembiayaannya untuk memudahkan pemilikan rumah bagi kumpulan B40 dan M40. Katanya, ini dapat mengurangkan hartanah tidak terjual di negara ini.
Dalam laporan baru-baru ini, Pusat Maklumat Hartanah Negara berkata, sebahagian besar hartanah yang tidak terjual terdiri daripada rumah berharga RM300,000 dan ke bawah.

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad