Nagaenthran berdepan hukuman gantung, Ibu rayu bantu selamatkan anak

PETALING JAYA, 21 April – Ibu kepada tertuduh (Nagaenthran K Dharmalingam) merayu untuk menyelamatkan anaknya selepas Mahkamah Rayuan Singapura menolak rayuan kes pengedaran dadah sekali gus mengekalkan pelaksanaan hukuman mati terhadap tertuduh pada 27 April depan.

“Nagaenthran. Selamatkan dia. Baru hati senang. Maaf, dia telah melakukan kesalahan. Semua orang tolong bantu,” kata Panchalai Supermaniam (Ibu tertuduh).

Itulah kata-kata daripada seorang ibu yang merayu agar anaknya diselamatkan daripada hukuman gantung di Singapura pada minggu depan.

Nagaenthran yang berasal dari Perak dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 2010 atas kesalahan menyeludup 42.72 gram dadah jenis heroin ke Singapura.

Walaupun rayuan sudah dikemukakan, Mahkamah Rayuan Singapura tetap mengekalkan pelaksanaan hukuman mati disebabkan tertuduh sudah menjalani proses undang-undang yang sewajarnya.