KOTA KINABALU: Bekalan air yang disalurkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) ke kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pada paras yang mencukupi, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Jelasnya, rekod jabatan itu sejak dua bulan kebelakangan ini menunjukkan bekalan air yang disalurkan setiap hari ke kampus universiti itu mampu menampung keperluan warganya.
Beliau berkata, hanya beberapa hari lalu ada laporan gangguan bekalan yang disalurkan JANS disebabkan ada paip pecah, namun perkara itu sudah diselesaikan dan penyaluran bekalan kembali pulih.
“Sebenarnya, dalam dua bulan kebelakangan ini, bekalan air ke UMS cukup, kita ada rekod daripada JANS setiap hari kecuali ada beberapa hari yang lalu kerana ada paip pecah, itu saja, sekarang sudah selesai.
“Bekalan air diteruskan pihak JANS, manakala sebagai tambahan, kita ada telaga tiub di UMS yang boleh membekalkan lebih daripada sejuta liter sehari (MLD), mereka sudah ada itu,” katanya ditemui media di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), semalam.
Hajiji menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pelaburan baharu Kibing New Solar Energy (M) Sdn Bhd bagi pembinaan kilang kaca solar dengan pelaburan mencecah RM7.2 bilion di Kimanis.
Ketua Menteri ditanya mengenai isu air di UMS susulan kempen Perhimpunan #KamiMahuAir Sabah yang dikhabarkan akan dianjurkan kumpulan mahasiswa dari universiti itu di hadapan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) atau Menara Kinabalu, di sini, pada 14 Jun ini.
Berikutan itu, Hajiji meminta pihak UMS untuk menyiasat jika masih berlaku masalah air yang dibekalkan JANS di kampusnya memandangkan laporan daripada jabatan itu menunjukkan penyaluran bekalan mencukupi.
“Kitapun tidak tahu apa yang berlaku di dalam sana (kampus UMS), jadi saya minta pihak UMS untuk menyiasat apakah punca, mungkin ada paip besar yang pecah dan sebagainya,” katanya.
Difahamkan, kampus UMS memerlukan antara tiga hingga lima MLD bagi menampung kira-kira 20,000 warganya yang berada di kampus itu setiap hari.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, sebelum ini menjelaskan bekalan air di UMS semakin baik dengan siapnya enam telaga tiub yang dibina menggunakan peruntukan RM3 juta diumumkan Perdana Menteri pada tahun lalu.
Kemudahan itu, katanya akan dimanfaatkan untuk menampung keperluan pelajar, khususnya di kolej kediaman jika berlaku gangguan bekalan yang disalurkan pihak JANS.
Telaga tiub dibina sebagai alternatif selepas warga UMS berdepan masalah air yang kritikal pada akhir tahun lalu disebabkan ketidakcukupan bekalan air JANS disalurkan dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong di Tuaran.
Bagaimanapun, bekalan air yang disalurkan pihak JANS dari LRA terbabit dilaporkan meningkat antara 15 MLD hingga 20 MLD menjadi kira-kira 130 MLD sekali gus memberi kesan signifikan kepada pengguna di utara bandar raya Kota Kinabalu sejak kira-kira dua bulan lalu. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad