TAWAU: Dua beradik dipenjara lima tahun selepas mengaku bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Tinggi Tawau, di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang penyelia ladang di Lahad Datu, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Duncan Sikodol menjatuhkan hukuman itu terhadap Al Nasir Abdullah, 27, dan adiknya, Al Dimal Abdullah, 22, atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan (KK).
Kedua-dua tertuduh didakwa menyebabkan kematian Mark Aquino Conahap di kawasan perumahan pekerja Ladang Kebun Jaya Estate, Ulu Segama Lahad Datu, antara jam 6.30 pagi hingga 6.55 pagi pada 17 April 2021.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh warga asing itu dikatakan pergi ke rumah mangsa kerana tidak berpuas hati mengenai gaji yang diberikan.
Al Nasir turut menuduh mangsa merogol isterinya dengan muslihat menyembuhkannya secara perubatan tradisional.
Kedua-dua tertuduh didakwa bertindak menetak mangsa menggunakan parang miliknya sehingga maut sebelum kedua-duanya melarikan diri.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara lima tahun terhadap kedua-dua tertuduh bermula dari tarikh tangkapan pada 17 April 2021 sebelum dirujuk ke Jabatan Imigresen setelah selesai menjalani hukuman itu.
Kedua-dua tertuduh sebelum ini didakwa di Mahkamah Tinggi pada 23 Ogos 2023 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang sabit kesalahan boleh dihukum mati.
Pertuduhan itu bagaimanapun gugur selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad