Suami isteri tidak akun salah kemuka tuntutan palsu RM600,000 terhadap SESB

TAWAU: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah atas 15 pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk menuntut bayaran daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) berjumlah RM655,512, kira-kira 11 tahun lalu.

Tertuduh, Junaidi Abdul Rahman, 63, dan isterinya, Albina Ogor Abdullah, 50, membuat pengakuan itu ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, hari ini.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Junaidi yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat dan isterinya yang juga Pegawai Eksekutif di syarikat sama didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen bagi menuntut bayaran daripada SESB.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Junaidi didakwa dengan curang menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen yang dikemukakan kepada SESB.

Ia berkaitan tuntutan bayaran pembekalan 260,000 liter diesel ke Stesen Janakuasa Tawau, di sini antara 8 April hingga 11 April 2013.

Tuntutan itu menyebabkan SESB membayar sebanyak RM655,512 kepada syarikat Petrohub Corporation Sdn Bhd (PCSB) milik tertuduh yang mana dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu adalah palsu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama iaitu penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Albina turut didakwa atas 15 pertuduhan bersubahat dengan suaminya mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 471 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifie dan Pegawai Pendakwa SPRM Sabah, Norsham Saharom, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan dengan syarat tambahan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Disember depan. – Info X