KENINGAU: Lelaki yang menetak jirannya hingga maut di Kampung Linkudau, di sini, pada 19 September lalu, ditahan semalam selepas dipercayai keluar dari lokasi persembunyiannya kerana lapar.
Suspek warga Filipina berusia 43 tahun ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, di kawasan semak berhampiran kilang terbiar di Kampung Kauran, kira-kira jam 9 malam.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, bertindak atas maklumat awam, pasukan polis ke lokasi untuk mengesan suspek di dalam kawasan perumahan di kampung berkenaan, kira-kira jam 5 petang.
“Usaha mengesan suspek dijalankan di kawasan perumahan Kampung Kauran tetapi suspek dipercayai telah melarikan diri ke kawasan kilang terbiar, hampir 50 meter.
“Operasi mengesan suspek diteruskan dan kira-kira jam 9 malam, pasukan serbuan berjaya mengesan dan menangkap suspek terbabit yang sedang bersembunyi di dalsm kawasan semak kira-kira 20 meter dari kilang terbiar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Yampil berkata, tiada sebarang pergelutan yang berlaku dan tiada sebarang kecederaan pada suspek dan pasukan serbuan.
“Soal siasat mendapati suspek mengaku menikam mangsa di bahagian tangan atas alasan berasa marah dengan mangsa yang menolong isteri (mangsa) membuat laporan polis.
“Sebaik sahaja kejadian berlaku, suspek terus melarikan diri ke dalam kawasan hutan di Jalan Tenom dan baru keluar pada 15 Oktober kerana kelaparan,” katanya.
Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke IPD Keningau dan kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.
“Siasatan masih diteruskan termasuk mengesan pakaian dan senjata yang digunakan oleh suspek ketika kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Terdahulu, seorang lelaki yang bertindak membantu jiran membuat laporan polis berakhir tragedi apabila ditetak dalam kejadian di Jalan Lingkudau, di sini, pada 19 September lalu.
Dalam kejadian kira-kira 9.40 malam itu, mangsa berusia 58 tahun dilaporkan maut akibat parah di tangan selepas ditetak oleh suami jiran yang dibantunya. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad