KOTA KINABALU: Sebuah bot pukat tunda bersama sembilan kru ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 1.2 batu nautika Barat Laut Tanjung Kunit, Pulau Usukan, Kota Belud semalam.
Kru termasuk tekong warga Indonesia berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun ditahan ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan kurang dari tiga batu nautika.
Pengarah APMM Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, penahanan bot itu hasol daripada pemantauan berterusan dan laporan yang diterima daripada Pusat Pengawasan Laut Maritim Negeri Sabah (SWASLA).
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot itu melanggar syarat sah lesen kerana menunda di bawah tiga batu nautika.
“Pemeriksaan seterusnya mendapati juragan bersama lapan awak-awak warga Indonesia turut melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.
“Bot beserta ikan campur yang dianggarkan hampir 700 kilogram ditahan bersama-sama kru bot,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, tangkapan dan rampasan diiring ke Jeti APMM, Sepanggar untuk siasatan lanjut dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM1.6 juta.
Sementara itu, Suhaimi berkata SWASLA sering memantau kawasan tumpuan di mana aktiviti ini sering dilakukan oleh bot-bot nelayan yang ingkar dan mengabaikan peraturan-peraturan yang ditetapkan.
“Bagi mengekang aktiviti ini daripada berleluasa, orang awam terutama komuniti maritim diseru untuk terus menyalurkan sebarang maklumat sekirannya terdapat apa-apa aktiviti yang mencurigakan melalui saluran yang betul untuk tindakan segera,” katanya. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad