KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelancong China yang mengambil kesempatan membuka perniagaan sehingga menjejaskan mata pencarian pengusaha tempatan.
Katanya, ada rakyat dari republik itu yang bukan hanya datang untuk melancong tetapi berniaga dengan membuka restoran dan menyediakan perkhidmatan pengangkutan seperti bot
Beliau berkata, keadaan itu memberi kesan langsung kepada perniagaan tempatan yang semakin terhimpit.
“Saya menerima laporan daripada syarikat tempatan berhadapan dengan masalah, di mana mereka terpaksa bersaing dengan syarikat diwujudkan pelancong daripada China.
“Ini masyarakat Cina (mengadu) bukannya Melayu datang ke rumah saya minta bangkitkan di Parlimen, tentang perkara membimbangkan peniaga Cina di Semporna,” katanya pada perbahasan Belanjawan 2025 di Parlimen.
Bekas ketua menteri itu turut meluahkan rasa kecewa apabila aduannya kepada pihak berkuasa belum mendapat perhatian sewajarnya, meskipun keadaan semakin meruncing.
Terdahulu, baru-baru ini, sekumpulan pengusaha pelancongan tempatan membuat laporan polis selepas tidak puas hati terhadap warga China yang bekerja tanpa pas lawatan yang sah di daerah ini.
Mereka mendakwa golongan berkenaan dikhuatiri akan menimbulkan kesan negatif terhadap sektor pelancongan dan perniagaan.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Sabri Zainol bagaimanapun berkata, kes berkenaan akan dirujuk kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk tindakan lanjut.
Susulan itu juga, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Datuk Seri Christina Liew berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai laporan tersebut.
Katanya, kerajaan negeri masih dalam proses menyiasat dakwaan pelancong warganegara China bekerja tanpa permit atau pas kerja sah dalam sektor pelancongan dan perniagaan di Semporna.
Beliau turut berkata jika pihaknya menerima laporan ada pihak tertentu yang mengambil golongan pelancong dari China itu bekerja, polis dan Taman-Taman Sabah akan mengambil tindakan selanjutnya. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad