APMM tahan 2 bot pukat jerut bilis langgar syarat lesen

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot pukat jerut bilis secara berasingan di sekitar perairan Tabawak dan Kunak, semalam.

Kedua-dua bot pukat jerut bilis berkenaan ditahan oleh pasukan bot ronda APMM yang terbabit dalam Op Pluto Timur 2/2013.

Pengarah Maritim Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, bot pertama ditahan di kedudukan 0.2 batu nautika Kampung Pangi Hujung, Kunak, kira-kira jam 2 petang.

Manakala bot kedua katanya, ditahan di kedudukan 0.3 batu nautika utara Pulau Majinkil, di sini pada jam 4.30 petang.

“Hasil pemeriksaan awal pasukan APMM mendapati bot pertama dikendalikan dua warga tempatan berusia 34 tahun dan 18 tahun.

“Bot kedua pula dikendalikan dua warga tempatan berusia 36 tahun dan 32 tahun bersama seorang warga Filipina berusia 42 tahun,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua bot berkenaan didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu memukat kurang dari 1.5 batu nautika dari daratan berdekatan.

“Semua kru serta bot dan hasil tangkapan yang dianggarkan bernilai RM188,000 dibawa ke jeti Perikanan Lahad Datu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dzulfikhar berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan insiden di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui aplikasi Whatsapp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera,” katanya. – Info X